Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN dengan United Kingdom (UK) pada 11 Julai 2025 di Kuala Lumpur.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menzahirkan komitmen untuk menjalin kerjasama yang erat dengan UK dan untuk mempergiat kerjasama ASEAN-UK dalam landskap geopolitik dan geo-ekonomi yang berubah.
Malaysia mengalu-alukan kerjasama UK dalam teknologi dan kewangan hijau, serta sokongan UK terhadap Rangka Kerja Karbon Bersama ASEAN (ASEAN Common Carbon Framework – ACCF) melalui Dana Peralihan Hijau ASEAN-UK. Malaysia menekankan bahawa ACCF akan membantu memacu tindakan iklim yang berkesan dan pertumbuhan ekonomi mampan di rantau ini.
Malaysia juga menyeru agar UK meneruskan sokongannya terhadap usaha bantuan kemanusiaan ASEAN dan usaha ASEAN untuk mencapai penyelesaian yang damai dan berkekalan di Myanmar.