Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kamera papan pemuka (dashcam) dan alat peranti pemantau kelajuan dipasang pada semua kenderaan perdagangan dan berat bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, berkata langkah itu penting untuk mengurangkan risiko kemalangan serius yang kerap berlaku melibatkan kenderaan tersebut akhir-akhir ini.
Katanya, cadangan itu perlu diberikan keutamaan terutama selepas tragedi kemalangan pada 9 Jun lalu di Jalan Raya Timur-Barat di Gerik, Perak yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd. Yusri berkata JSPT sangat menggalakkan pemasangan alat peranti pemantau kelajuan dan ‘dashcam‘ berkenaan dan itu memang cadangan PDRM untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Beliau juga mengesyorkan infrastruktur Jalan Raya Timur-Barat dinaik taraf, terutama di kawasan ‘black spot‘ yang kerap berlaku kemalangan. Selain itu pihak bertanggungjawab juga wajar menambah baik keperluan pencahayaan termasuk penyelenggaraan berkala terhadap aksesori jalan raya seperti garisan putih yang sudah pudar supaya dicat semula.