Buat julung kalinya YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim tampil di Gedung Sekretariat ASEAN yang berpusat di Jakarta sempena peranan penting Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025. Ia antara lain menggariskan serta menonjolkan lambang komitmen negara yang tidak berbelah bahagi terhadap cita dan semangat ASEAN yang kental dan luhur.
Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia muncul memimpin usaha mendamaikan Kemboja dan Thailand, yakni dua negara tetangga yang hampir terseret ke kancah konflik yang lebih dahsyat. Dengan penglibatan aktif China dan Amerika Syarikat, Malaysia berjaya mencapai persetujuan gencatan senjata serta merta tanpa syarat. Ini bukti betapa diplomasi mesti memayungi usaha kita menjelmakan keamanan dan kepimpinan yang tegas.
Dunia kini dirundung ketegangan kuasa besar, perlumbaan geo-ekonomi yang melelahkan dan keruntuhan multilateralisme. Dalam lanskap sebegini, ASEAN tidak boleh melemah, berpecah, jauh sekali ketinggalan. ASEAN mesti bersatu, perkukuh peranannya dan memastikan suara rantau ini terus dihormati.
YAB Perdana Menteri juga menyebut bahawa Malaysia komited memacu pelaksanaan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), mempercepat ASEAN Power Grid, dan memuktamadkan ASEAN Digital Economy Framework Agreement bagi menjamin masa depan ekonomi yang terbuka, adil dan lestari untuk 660 juta rakyat di rantau ini.
Justeru, ASEAN akan terus bersuara, menjamin kerukunan dan memimpin dengan ketegasan, dan tidak sekadar mengikut susun atur order global. Negara tahu ke mana arah yang dituju, dan Malaysia akan pastikan ASEAN akan lebih tegap dan melangkah sederap demi kestabilan, kemakmuran dan keamanan sejagat.