Alhamdulillah, dua negara sahabat ASEAN, Thailand dan Kemboja bersetuju menamatkan persengketaan melalui pelaksanaan gencatan senjata bermula tengah malam ini.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, menerima amanah besar bersama rakan-rakan lain untuk memantau pelaksanaan dan pematuhan gencatan senjata ini, atas permintaan kedua-dua pihak.
Pendekatan damai ini mencerminkan semangat Piagam ASEAN berlandaskan hormat-menghormati, penyelesaian secara rundingan, dan penolakan keganasan demi kemanusiaan.
Kita mesti teguh mempertahankan perpaduan ASEAN agar rantau ini kekal sebagai antara wilayah paling aman, stabil dan makmur di dunia. Keamanan adalah asas kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat serantau.
Saya merakamkan penghargaan kepada Thailand dan Kemboja atas penyelesaian diplomatik ini, serta kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping atas peranan menyokong usaha damai ini.
ASEAN terus membuktikan kepimpinan berwibawa di pentas antarabangsa berpaksikan dialog, diplomasi dan nilai kemanusiaan.
YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar IbrahimĀ