Sebaik tiba awal pagi tadi dari lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil, YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim terus menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Sebelum bermulanya upacara perasmian, YAB Perdana Menteri telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri-Menteri Luar ASEAN serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Dalam pertemuan ini, beliau mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan Malaysia terhadap komitmen berterusan semua pemimpin dalam memastikan segala isu dan cabaran serantau terus dibincangkan secara terbuka dan kolektif.
Mesyuarat kali ini amat penting dalam merangka masa depan rantau ini, lebih-lebih lagi ketika dunia berdepan dengan cabaran geopolitik, perubahan iklim, serta ketidaktentuan ekonomi global.
Malaysia percaya bahawa perpaduan dan persefahaman antara negara-negara anggota ASEAN adalah kunci kepada kestabilan, kemakmuran dan daya saing serantau.
Sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia komited untuk mengangkat suara ASEAN di pentas global serta memacu agenda keterangkuman dan kemampanan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat rantau ini.