YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim bertegas mengenai pendirian Malaysia di Sidang Kemuncak BRICS bahawa multilateralisme mesti membawa hasil nyata, bukan sekadar retorik. Kegagalan menghentikan genosid di Gaza dan keganasan berterusan di Asia Barat menyerlahkan keperluan mendesak untuk kepimpinan berprinsip.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menggerakkan strategi serantau berteraskan daya tahan, kepelbagaian dan pemerkasaan digital. Malaysia menyambut baik komitmen BRICS terhadap pertumbuhan inklusif, perdagangan yang adil serta tadbir urus AI yang bertanggungjawab.
Selain itu, akses awam kepada penjagaan kesihatan, sistem perubatan yang kukuh dan berdaya tahan, serta rantaian bekalan global yang selamat bukanlah isu sampingan tetapi ia adalah tunjang kestabilan negara dan keamanan dunia.
YAB Perdana Menteri turut tegaskan mengenai pendirian Malaysia bahawa apabila semua memperkukuh asas-asas ini, kita bukan sahaja melindungi rakyat kita sendiri malah turut menyumbang kepada kebaikan dunia sejagat.
Dengan solidariti dan tanggungjawab bersama, Anwar yakin setiap negara mampu membina masa depan yang lebih selamat dan sihat untuk semua.