Tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza merupakan ujian terhadap hati nurani dan nilai kemanusiaan sejagat. Seluruh keluarga dibunuh tanpa belas termasuk kanak-kanak, malah bayi menjadi korban. Ribuan lagi sedang menderita kelaparan dan kekurangan asas hidup.
Pelanggaran terang-terangan terhadap nyawa dan maruah manusia ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Ia mencabuli prinsip moral paling asas yang menjadi asas peradaban manusia.
Malaysia menyeru semua pemimpin dunia agar bertindak segera dan tegas. Setiap kerajaan yang menjunjung undang-undang antarabangsa dan setiap negara yang mendakwa menghargai nyawa manusia, mesti bangkit dan bersuara sebagai satu suara bersama.
Sehubungan itu, saya menggesa semua pihak yang mempunyai pengaruh ke atas Israel supaya menunjukkan keberanian moral untuk bertindak tegas. Secara khusus, saya merayu kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, agar menggunakan pengaruh beliau untuk:
Mendesak penghentian segera segala bentuk pembunuhan,
Menghentikan pengeboman secara membabi-buta, dan
Memastikan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan kepada mangsa tanpa sebarang halangan.
Inilah masanya untuk kepimpinan berasaskan prinsip. Inilah detik untuk mempertahankan nilai-nilai yang kononnya kita perjuangkan di pentas antarabangsa.
Malaysia menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua negara — sama ada dari Utara atau Selatan, Timur atau Barat — bagi membawa kelegaan kepada rakyat Gaza, dan untuk memulihkan semula asas-asas kemanusiaan yang kini sedang tercabar.
Janganlah kita dikenang oleh sejarah sebagai mereka yang hanya berdiam diri. Biarlah kita dipandu oleh hati nurani, menjawab penderitaan dengan belas kasihan, dan memperjuangkan keamanan demi masa depan kemanusiaan.
Oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim





