YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim menerima anugerah sivil tertinggi Timor Leste, “Grand Collar of the Order of Timor-Leste” daripada Presiden Dr José Ramos-Horta.
Anugerah ini sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan serta komitmen beliau dan Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala serta serantau. Anwar berbesar hati menerima anugerah ini bagi pihak rakyat Malaysia dan ia juga sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara.
Sebelum itu, dalam ucaptama siri Presidential Lecture, YAB Perdana Menteri menekankan keperluan negara anggota memperkukuh kesepaduan dan kepusatan ASEAN bagi menghadapi persaingan geopolitik serta cabaran serantau yang kian kompleks.
Sepanjang hampir enam dekad, ASEAN telah melalui pelbagai pasang surut, namun pengajaran yang diperoleh, membuktikan kesepaduan dan kepusatan tidak boleh dipandang ringan.
Kesepaduan ASEAN mesti dipertahankan secara berterusan kerana perpecahan hanya akan melemahkan usaha bersama membina rantau yang aman dan makmur.