MANSUHKAN MATRIKULASI – DESAKAN POLITIK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

73
SHARES
236
VIEWS

KENYATAAN MEDIA

Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK), mengambil maklum berhubung kenyataan pihak tertentu yang menggesa pemansuhan Program Matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu -satunya laluan kemasukan ke Universiti Awam (UA).

Alumni MPPK berpandangan bahawa sebarang cadangan untuk mengubah dasar pra-universiti negara perlu dilaksanakan secara berhati-hati, berasaskan data dan mempertimbangkan kepentingan semua pihak seperti pelajar bandar, luar bandar, Bumiputera, bukan Bumiputera serta kumpulan sosioekonomi B40 dan M40.

Perlu difahami bahawa Matrikulasi adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) manakala kemasukan pelajar ke UA melalui sistem UPU diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Sebarang perbincangan dasar mestilah mengikut bidang kuasa kementerian yang tepat dan dibuat melalui saluran rasmi.

Program Matrikulasi telah berperanan sebagai salah satu laluan utama kemasukan pelajar ke UA sejak 1999. Ia menyediakan peluang kepada pelajar lepasan SPM khususnya daripada kumpulan berpendapatan rendah dan luar bandar untuk mendapatkan persediaan pra-universiti yang lebih singkat (satu tahun) berbanding STPM yang mengambil masa 18 bulan.

Kami juga mengambil maklum bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah pun menjelaskan dengan terperinci berkenaan prinsip meritokrasi dan ketelusan dalam sistem pengambilan pelajar ke Universiti Awam.

Sehubungan itu, isu kononnya wujud ketidakadilan dalam sistem kemasukan pelajar sepatutnya tidak lagi dibangkitkan kerana penjelasan KPT telah menjawab persoalan yang timbul dan data rasmi telah dikeluarkan secara telus.

Menghapuskan Matrikulasi secara total tanpa pelan peralihan akan memberi impak besar kepada akses pendidikan tinggi terutamanya kepada pelajar dari latar belakang sosioekonomi rendah.

Alumni MPPK menyatakan sokongan kepada usaha KPM dan KPT untuk memperkukuh sistem pendidikan negara dan memastikan peluang kemasukan ke UA yang adil, inklusif dan telus. Perbahasan dasar pendidikan mesti dibawa secara rasional bukan dipolitikkan sehingga menjejaskan keyakinan pelajar dan masyarakat.

Alumni MPPK menegaskan bahawa isu Matrikulasi bukan soal perkauman atau kepentingan politik tetapi soal keadilan, kualiti dan masa depan anak muda Malaysia. Penyelesaian terbaik ialah memperbaiki sistem sedia ada dengan berpandukan data, meningkatkan meritokrasi dan memastikan semua laluan pra-universiti mempunyai standard yang jelas dan setara.

Kami menggesa semua pihak agar menghentikan retorik yang boleh memecahbelahkan masyarakat dan sebaliknya bersama-sama memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara demi generasi akan datang.

MUHAMMAD AMIR ASYRAF BIN MOHD SABRI

Presiden

Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK)

Related Posts