Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama barisan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia hadir mendengar Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 yang disampaikan oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pagi tadi.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara diadakan bagi menyemarakkan penghayatan erti kemerdekaan serta menanamkan jiwa patriotisme dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia dan telah menghimpunkan hampir 4,000 tetamu dari pelbagai latar belakang.
Dato’ Seri Anwar dalam amanatnya telah menekankan kepentingan mempertahankan negara daripada ancaman perpecahan, memperkukuh perpaduan masyarakat dan menghidupkan roh Malaysia MADANI melalui nilai toleransi, saling menghormati dan kepedulian sesama insan. Beliau turut menegaskan bahawa kebajikan serta kesejahteraan rakyat mesti menjadi agenda utama negara ini.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, mengangkat prinsip bahawa setiap rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang adalah aset berharga negara yang wajar dihargai, disantuni dan dirangkul dalam semangat kebersamaan.
Terdahulu, majlis telah diserikan dengan lafaz ikrar Rukun Negara oleh sukarelawan siswa bersama kanak- kanak Tabika Perpaduan dan persembahan kebudayaan “Harmoni Madani” yang menggambarkan keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Hadir sama, Timbalan PM II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof, barisan menteri dan timbalan menteri kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, barisan Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan serta Timbalan KPN, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia.