EKONOMI KEKAL SEBAGAI MATLAMAT UTAMA ASEAN, PACU KOMUNITI SERANTAU – ANWAR

64
SHARES
206
VIEWS

Sebaik tiba ke tanah air dari Timor-Leste semalam, YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim terus ke Taman Botani Perdana untuk menghadiri Majlis Makan Malam Gala sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-57 yang menghimpunkan sahabat-sahabat ASEAN dan rakan dialog rantau ini.

Sebagai Pengerusi ASEAN, beliau menekankan bahawa tonggak ekonomi kekal sebagai matlamat utama kita, memacu komuniti serantau yang bersepadu, berdaya saing dan berdaya tahan sejak penubuhan AEC pada 2015.

Hari ini ASEAN berdiri sebagai ekonomi kelima terbesar dunia, dan dengan RCEP serta perjanjian perdagangan yang dipertingkat, Malaysia diyakini mampu melonjak menjadi blok keempat terbesar menjelang 2030.

ASEAN tidak boleh menjadi pemerhati pasif, sebaliknya mesti memimpin dengan mengukuhkan rantaian bekalan, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana, melabur dalam kelestarian serta merangkul inovasi.

Langkah bersejarah untuk mengadakan Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN bulan depan akan memperkukuh kesepaduan dalam mendepani cabaran geopolitik dan geoekonomi.

Malaysia komited memastikan pertumbuhan inklusif yang tidak meninggalkan mana-mana negara anggota, menghargai peranan rakan dialog, dan menyambut keanggotaan Timor-Leste yang bakal memperkukuh perpaduan rantau.

ASEAN bukan sekadar sebuah rantau, tetapi sebuah janji tentang potensi tanpa batas yang mesti kita buka bersama demi kesejahteraan rakyat, kerjasama rakan serantau dan masa depan generasi mendatang. 

Related Posts