KENYATAAN MEDIA RASMI
ALUMNI MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN (MPPK)
Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia atas kejayaan besar dalam memediasi dan memeterai genjatan senjata antara Kerajaan Thailand dan Kerajaan Kemboja, satu detik bersejarah yang mengangkat martabat diplomasi Malaysia ke pentas tertinggi serantau.
Kejayaan ini bukan sekadar menzahirkan kewibawaan dan kepemimpinan YAB Perdana Menteri sebagai seorang negarawan ulung malah memperkukuh imej Malaysia sebagai negara berdaulat yang menjunjung nilai keamanan, keadilan dan kemanusiaan sejagat. Malaysia kini bukan lagi sekadar pemerhati tetapi pemacu penyelesaian konflik berdasarkan prinsip Malaysia MADANI yang mendasari ihsan, kesejahteraan dan tanggungjawab bersama.
Pendekatan diplomasi berlandaskan nilai hikmah, empati serta kebijaksanaan strategik yang diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri dalam rundingan ini memperlihatkan keteguhan moral serta visi global yang menjangkaui kepentingan domestik. Inilah contoh kepimpinan progresif yang menjadikan keamanan serantau sebagai tanggungjawab bersama dan bukan sekadar retorik dasar luar.
Alumni MPPK percaya bahawa kejayaan ini akan menjadi mercu tanda kepada era baharu hubungan antarabangsa ASEAN yang lebih stabil dan menjadi asas kepada inisiatif perdamaian yang lebih luas di pentas antarabangsa. Malaysia mesti terus teguh memainkan peranan sebagai jambatan dialog dan pendamai di kala dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang kian mencabar.
Kami berdiri teguh menyokong setiap usaha yang menjunjung nilai keamanan sejagat dan menyeru seluruh anak muda Malaysia untuk meneladani keberanian, visi dan kebijaksanaan yang dipamerkan dalam usaha perdamaian ini.
MUHAMMAD AMIR ASYRAF BIN MOHD SABRI
Presiden
Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK)