KENYATAAN MEDIA
Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK) memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang cuba mempolitikkan isu kemasukan pelajar ke universiti awam dengan meniup sentimen perkauman serta mempertikai ketelusan sistem.
Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah ditegaskan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) berlangsung secara telus, adil dan berasaskan prinsip meritokrasi iaitu 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus pencapaian kokurikulum. Sistem UPUOnline® berfungsi menyaring setiap permohonan berdasarkan markah merit, syarat program serta kekosongan tempat tanpa dipengaruhi faktor kaum atau latar belakang.
Bahkan, Kementerian Pendidikan Tinggi telah memberi jaminan bahawa semua calon lepasan STPM dengan PNGK 4.00 ditawarkan tempat di universiti awam. Rekod menunjukkan daripada 1,255 calon PNGK 4.00 yang memohon, seramai 1,249 telahpun mendapat tawaran manakala 6 lagi akan melengkapkan dokumentasi sebelum ditawarkan. Ini adalah bukti jelas bahawa tiada calon cemerlang yang dinafikan peluang.
Dalam kes tertentu, walaupun seseorang calon memperoleh PNGK 4.00 dan merit yang tinggi, persaingan adalah amat sengit kerana ribuan calon lain turut memperoleh markah penuh. Sebagai contoh bagi program Perakaunan di Universiti Malaya, terdapat 1,127 calon dengan merit 100 peratus tetapi hanya 85 tempat yang tersedia. Pemilihan seterusnya dibuat berdasarkan kaedah tambahan termasuk PNGK, purata gred, markah kokurikulum dan pencapaian SPM.
Perlu difahami, keputusan UPU bukanlah isu diskriminasi tetapi hasil daripada persaingan sihat dalam kalangan ribuan pelajar cemerlang. Malah, data rasmi menunjukkan jumlah pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang SPM meningkat setiap tahun daripada 8,876 orang (2019) kepada 14,179 orang (2024). Ini menjadikan pemilihan kursus kritikal seperti perakaunan, perubatan dan undang-undang semakin kompetitif.
Sehubungan itu, Alumni MPPK menegaskan bahawa:
1. Isu kemasukan IPTA tidak wajar dipolitikkan dengan menuduh sistem tidak telus atau bersifat perkauman.
2. Fakta meritokrasi mesti dihormati dan pelajar perlu realistik menerima persaingan yang semakin sengit
3. Semua pihak termasuk pemimpin politik perlu bersikap matang dan membantu menambah baik sistem sedia ada bukannya menanam persepsi salah di kalangan masyarakat.
Alumni MPPK percaya, sistem kemasukan berasaskan merit adalah jalan terbaik untuk menjamin keadilan sosial serta kualiti pendidikan tinggi negara. Sebarang usaha menimbulkan keraguan hanya akan melemahkan keyakinan pelajar, ibu bapa dan masyarakat terhadap integriti sistem pendidikan kita.
Sekian, terima kasih.
MUHAMMAD AMIR ASYRAF BIN MOHD SABRI
Presiden
Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK)





