PENDIDIKAN PERCUMA BUKAN LAGI RETORIK — ALUMNI MPPK ZAHIRKAN PENGHARGAAN KEPADA YAB PERDANA MENTERI

76
SHARES
246
VIEWS

KENYATAAN MEDIA

Pengumuman YAB Perdana Menteri mengenai pelaksanaan pendidikan percuma kepada 5,800 pelajar miskin di IPTA merupakan langkah awal yang amat signifikan ke arah keadilan sosial dan kesejahteraan pendidikan tinggi negara.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen teguh Kerajaan MADANI terhadap prinsip ihsan dan keberdayaan dalam memastikan tiada pelajar berpotensi tercicir hanya kerana kekangan kewangan. Pendidikan kini tidak lagi dilihat sekadar sebagai hak individu tetapi sebagai pelaburan strategik negara untuk membina masyarakat yang progresif, berdaya saing dan inklusif.

Dengan pengumuman ini, sejarah baharu tercipta dalam landskap pendidikan negara apabila kerajaan tampil dengan keberanian politik dan kejelasan visi untuk memulakan langkah tuntas ke arah pendidikan tinggi percuma, satu aspirasi rakyat yang sekian lama dinanti.

Walaupun dimulakan secara terpilih, inisiatif ini wajar dilihat sebagai projek perintis untuk menilai keberkesanan sistem serta impaknya di lapangan. Dalam jangka sederhana, pelaksanaannya perlu diperluas kepada semua anak B40, khususnya dalam bidang strategik seperti pendidikan, kejuruteraan, kesihatan, sains data dan TVET.

Namun, pelaksanaannya wajar mengambil kira kemampuan fiskal negara serta disokong dengan penambahbaikan sistem pembiayaan PTPTN agar ia dapat dilaksanakan secara berfasa, mampan dan benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

Bagi memastikan inisiatif ini benar-benar menepati matlamat asal, beberapa langkah strategik wajar dilaksanakan, termasuk penggunaan data sosioekonomi bersepadu seperti PADU dan eKasih bagi menilai tahap kemiskinan sebenar keluarga pelajar serta pelaksanaan pemantauan berterusan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEPA) untuk mengenal pasti pelajar yang menghadapi tekanan kewangan dan memerlukan bantuan segera.

Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas keberanian politik serta kejelasan visi dalam memulakan langkah ke arah pendidikan tinggi percuma yang inklusif.

Usaha ini bukan sahaja mengubah kehidupan ribuan pelajar B40, malah menandakan detik bersejarah dalam reformasi pendidikan tinggi negara menuju sistem yang lebih adil, mampan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Dengan iltizam politik, pelaksanaan cekap dan dasar berasaskan data, Malaysia berpotensi mencapai sistem pendidikan tinggi percuma yang menyeluruh menjelang dekad akan datang.

MUHAMMAD AMIR ASYRAF BIN MOHD SABRI

Presiden

Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK)
10 Oktober 2025

Related Posts