KENYATAAN MEDIA
ALUMNI MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN (ALUMNI MPPK) KECAM TINDAKAN BIADAB, PERTAHAN PRINSIP PERJUANGAN BERINTEGRITI
Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab serta tidak beradab oleh segelintir peserta perhimpunan baru-baru ini yang membakar potret YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Tindakan keji ini tidak hanya melampaui batas adab serta nilai moral seorang aktivis malah mencemarkan maruah perjuangan anak muda yang selama ini berjuang atas nama integriti, akauntabiliti dan reformasi. Ia adalah manifestasi politik kebencian yang dangkal serta tidak mencerminkan kematangan intelektual yang sepatutnya menjadi asas kepada gerakan mahasiswa dan anak muda negara.
Alumni MPPK menegaskan bahawa komitmen memerangi rasuah dan penyelewengan mesti diteruskan tanpa kompromi. Namun, perjuangan tersebut wajib dipacu dengan prinsip yang jelas, hujah yang tuntas dan tindakan yang beradab. Membakar potret seorang pemimpin negara bukan sahaja tidak produktif malah mengundang kegusaran terhadap arah tuju aktivisme mahasiswa yang seharusnya menjadi pencetus budaya politik baru yang matang, progresif dan berfakta.
YAB Perdana Menteri merupakan figura penting dalam sejarah perjuangan reformasi institusi di Malaysia. Di bawah kepemimpinan beliau, ruang demokrasi terus terbuka luas termasuk kebebasan berhimpun dan bersuara. Ia adalah satu bentuk kematangan demokrasi yang sewajarnya dihargai bukan disalahgunakan.
Alumni MPPK menolak keras sebarang bentuk politik bersifat peribadi dan provokatif yang tidak membawa nilai tambah kepada pembinaan negara. Tindakan seperti ini tidak mencerminkan aspirasi sebenar anak muda yang mahu melihat Malaysia lebih adil, telus dan maju.
Kami menyeru seluruh mahasiswa dan belia Malaysia agar menjadikan prinsip, ilmu dan hikmah sebagai asas dalam menyuarakan pandangan. Suara anak muda harus menjadi obor pencerahan bukan bara permusuhan. Perubahan hakiki tidak akan lahir daripada amarah yang melulu tetapi melalui idealisme yang berakar kepada integriti dan keberanian untuk berjuang secara beretika.
Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kekal teguh menyokong usaha membanteras rasuah secara menyeluruh namun dalam kerangka perjuangan yang bermaruah, bijaksana dan bertamadun.
MUHAMMAD AMIR ASYRAF BIN MOHD SABRI
Presiden
Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK)