ALUMNI MPPK SAMBUT BAIK PEMBENTANGAN RMK13 YANG BERTERASKAN REFORMASI DAN NILAI MADANI

65
SHARES
211
VIEWS

Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK) menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan di Dewan Rakyat sebagai pelan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Dengan peruntukan besar sebanyak RM611 bilion, RMK13 jelas mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk melaksanakan reformasi struktur yang menyeluruh merangkumi pendidikan, kesihatan, pembangunan wilayah, perumahan mampu milik, TVET, pendigitalan dan pasaran buruh selaras dengan keperluan semasa dan masa depan negara.

Alumni MPPK amat mengalu-alukan reformasi pendidikan yang diumumkan termasuk langkah meletakkan pendidikan prasekolah hingga menengah di bawah Kementerian Pendidikan dan pendidikan praujian hingga pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. Usaha mewajibkan pendidikan prasekolah seawal usia lima tahun serta penetapan SPM sebagai penanda aras kebangsaan merupakan langkah progresif ke arah pendidikan lebih menyeluruh, inklusif dan berkualiti.

Kami juga menyokong penuh komitmen Kerajaan untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan bernilai tinggi, memperkukuh sistem perlindungan sosial berlandaskan nilai MADANI serta mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah.

Sebagai entiti yang terdiri daripada pimpinan mahasiswa dan graduan, Alumni MPPK percaya bahawa pelaburan dalam pembangunan insan, kemahiran serta suara anak muda perlu terus diberikan perhatian agar matlamat negara berpendapatan tinggi dapat dicapai secara saksama dan lestari.

Kami menyeru agar semua pihak kerajaan, agensi, pihak swasta, akademik dan masyarakat untuk berganding bahu merealisasikan RMK13 agar kemajuan yang dicanang bukan sahaja terletak pada angka tetapi benar-benar dirasai rakyat di semua peringkat tanpa ada yang tertinggal.

Sekian, terima kasih.

MUHAMMAD AMIR ASYRAF BIN MOHD SABRI

Presiden

Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK)

31 Julai 2025

Related Posts