HARI PAHLAWAN 2025: “DARAH YANG TERPERCIK DI BAJU” KISAH SEJARAH SEORANG PEJUANG SANG SAKA BIRU

65
SHARES
211
VIEWS

Darah Yang Terpercik Di Baju” sebuah sajak yang meruntun sanubari mereka yang hadir ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan yang diadakan Dataran Pahlawan Negara, di sini, pagi tadi.

Ia dideklamasikan oleh Sarjan Ardiansyah Wayang dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarjan Siti Nur Aini Jasni dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengangkat kisah perjuangan dan pengorbanan seorang anggota elit 69 Komando PDRM, Allahyarham ASP Mohd Zabri Abd Hamid yang gugur dalam Ops Bamboo 1975 ketika mempertahankan tanah air daripada ancaman pengganas komunis.

Pada sambutan kali ini, PDRM selaku tuan rumah telah membawakan kisah perjuangan Allahyarham ASP Mohd Zabri menerusi pantomim khas bertajuk “Zabri Pejuang Sang Saka Biru” di bawah arahan Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, SAC Hakemal Hawari. Dataran Pahlawan Negara turut dimeriahkan dengan tayangan video kisah perjuangan Allahyarham ASP Mohd Zabri yang divisualkan menggunakan 80 peratus teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi tujuan ilustrasi berdasarkan kisah benar.

Lebih bermakna lagi apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bercemar duli menyaksikan sendiri persembahan penuh penghormatan ini.

Simbolik penghargaan buat Allahyarham ASP Mohd Zabri turut dipersembahkan dengan kehadiran sebuah kereta perisai jenis Farret Scout Car yang pernah digunakan dalam operasi sebenar dan dinamakan semula sebagai “Zabri” sebagai simbolik penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanannya.

Terdahulu, istiadat yang penuh bersejarah pagi tadi membuka tirainya dengan tiupan paluan akhir atau lebih dikenali sebagai “last post” yang begitu signifikan dengan pasukan keselamatan negara terutamanya PDRM dan ATM.

Antara yang hadir ke istiadat pagi tadi ialah Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, barisan jemaah menteri dan timbalan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj. Mohd Nizam Hj. Jaffar bersama isteri, Puan Sri Hjh. Risia Sheikh Ali Omar Bajarai dan Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri, selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia Datin Sri Hjh. Munirah Che Rose.

Istiadat perbarisan tahun ini telah disertai seramai 703 pegawai dan anggota lain-lain pangkat hasil gabungan PDRM dan ATM. Tidak ketinggalan juga penyertaan daripada Persatuan Bekas Polis Malaysia dan Persatuan Veteran ATM.

Related Posts