YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim hadir bertemu pimpinan KEADILAN Selangor di Shah Alam petang semalam. Menurutnya beliau melihat semangat dan kekuatan akar umbi parti terus utuh. Namun tidak boleh alpa kerana kuasa, jika tidak dijaga, mudah menjadi kilauan yang memukau dan merabunkan.
Beliau turut mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan beberapa isu semasa, termasuk pelantikan Ketua Hakim Negara yang diganggu dengan tuduhan dan fitnah kononnya kerajaan mahu merosakkan institusi kehakiman. Alhamdulillah, keputusan Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong telah menjawab segala cercaan dan tohmahan tersebut.
Kerajaan mesti berani mempertahan prinsip ketelusan dan semak imbang. Mahkamah mesti bebas, tetapi bukan mutlak tanpa pertanggungjawaban. Di negara demokrasi besar seperti Perancis, Jerman dan Australia, eksekutif tetap mempunyai ruang menyuarakan pandangan. Yang penting, pelantikan dibuat berdasarkan kelayakan dan integriti, bukan sentimen atau rekaan musuh politik.
Anwar berkata ahli-ahli PKR tidak harus terperangkap dalam naratif lawan yang cuba mencipta persepsi kononnya wujud krisis atau konspirasi. Beliau sentiasa terbuka untuk memberi penjelasan namun dalam hal ini, beliau tidak boleh menyatakannya secara terbuka kerana perlu menghormati proses serta kebijaksanaan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.
Anwar tegaskan amanah ini akan digalas dengan penuh prinsip dan kekuatan. Kerajaan tidak sempurna, tetapi banyak yang telah dilaksanakan antaranya kenaikan gaji penjawat awam, gaji minimum GLC, bantuan merentas kaum dan pelbagai lagi. Jentera parti juga perlu ke hadapan menjelaskan dasar-dasar ini, kerana apabila kita berdiam, fitnah akan tersebar.
Menyentuh situasi parti pasca pemilihan, Anwar tegaskan KEADILAN mesti terus maju ke hadapan. Yang kalah perlu hormat keputusan, manakala yang menang mesti merangkul semua kekuatan. Inilah parti yang mewakili suara rakyat pelbagai latar, bukan milik satu kaum atau satu kelompok.
PKR harus perkukuh perpaduan dan kekuatan untuk berdepan musuh yang mempunyai dana, pengaruh dan rangkaian luas. Beliau yakin parti mempunyai kekuatan sebenar iaitu rakyat, semangat reformasi dan iltizam memperkasa negara.
Lawan tetap lawan, dengan hujah, fakta dan keyakinan demi masa depan negara yang lebih adil dan bermaruah.