ANWAR SANTUNI PARA ULAMA SEMPENA FESTIVAL TURATH ISLAMI

64
SHARES
206
VIEWS

YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim meraikan Syeikh Dr Mohammad Akram Nadwi, Syeikh Dr Majd Makki, Syeikh Prof Dr Idris al-Kharshafi, Syeikh Dr Adi Hidayat dan para ulama serta tuan guru dari seluruh Malaysia termasuk dari Patani di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor di Shah Alam bersempena Festival Turath Islami 2025.

Alhamdulillah, dengan kuasa yang ada Malaysia mendukung tradisi menggali warisan ilmu Islam hari ini di Shah Alam dan esok di Putrajaya. Kerajaan persekutuan dan negeri komited memberi galakan dan dukungan dalam menyegarkan wacana keilmuan bagi manfaat dan pencerahan buat umat.

YAB Perdana Menteri sempat menyentuh pengalaman beliau menekuni kitab Munyatul Musolli karangan Syeikh Daud Al Fatani yang membahaskan soal tatacara solat namun turut menyentuh perihal siyasah dan tatakelola yang baik.

Dalam bab “Tatmim al-Fa’idah”, Syeikh Daud bukan sahaja menyentuh mengenai solat namun jauh daripada itu mengaitkan dengan prinsip keadilan, yang pernah beliau ulas dalam sebuah jurnal, (https://www.criticalmuslim.io/justice-for-a-praying-person).

Beliau turut tegaskan bahawa cabaran umat Islam saat ini datang dari pelbagai penjuru. Oleh itu, kita harus menumpukan usaha memupuk nilai ilmu yang membina wahdatul fikr (kesatuan pemikiran), yang mempersatukan dan bukan memecahkan umat dengan adu domba dan cerca.

YAB Perdana Menteri zahirkan juga penghargaan atas pertemuan, nasihat dan doa para ulama dan guru-guru pondok yang datang jauh ke Shah Alam hari ini. Semoga acara begini dapat memberi manfaat dan barakah kepada kita semua di Malaysia.

Firman Allah SWT

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah: 11]

Related Posts