NAMA ‘BORNEO’ BUAT SABAH RIUH-RENDAH

67
SHARES
217
VIEWS

Seperti yang kita ketahui, ‘Borneo’ merujuk kepada dua buah negeri di Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak dan Kalimantan di Indonesia serta negara Brunei. Selain dari kempat-empat ini bukanlah dikenali sebagai Borneo.

Tetapi jika ada mana-mana pihak di luar negara yang mahu menggunakannya mungkin kerana ada makna atau maksud tertentu dalam bahasa mereka, perkara ini tiada sesiapapun boleh menghalangnya.

Sebagai contoh, perkataan ‘sabah,’ jika di Malaysia, ia merujuk kepada sebuah negeri tetapi ada juga orang luar yang gunakannya iaitu di Turkiye. Ini kerana ‘sabah’ dalam bahasa mereka bermaksud ‘pagi’.

Sebab itulah kita boleh lihat ada akhbar Turkiye bernama “Sabah“, “Daily Sabah” dan “Sabah TV“. Sama juga dalam Bahasa Arab, ‘sabah’ juga bermaksud ‘pagi’ dan digunakan secara meluas.

Maka, bolehkah rakyat Sabah marah? Tentulah boleh, tetapi tidak ke mana dan tidak pentingpun rakyat Sabah mahu berbahas perkara ini kerana ia hanya membuang masa walaupun masing-masing juga berhak menggunakannya.

Tetapi siapa dahulu pakai maka nama itu menjadi hak mereka. Samalah Sabah TV, Sabah dan Daily Sabah, suka ataupun tidak, rakyat Sabah sudah terlepas peluang mahu menggunakannya.

Sebab itulah baru-baru ini apabila Kerajaan Negeri Sabah melancarkan Borneo.TV untuk rakyat mereka manfaatkan, ada juga yang pertikai. Sedangkan sepatutnya rakyat Sabah bersyukur kerana Borneo.TV sudah berjaya ‘dihakmilikkan’ oleh Kerajaan Negeri Sabah, bukannya diambil Brunei, Kalimantan atau Sarawak.

Jika tidak, tentulah semua menggigit jari dan menyesal kerana kenapalah tidak terfikir lebih awal mahu menggunakan Borneo.TV sebelum ia diambil oleh orang lain.

Justeru, nama sudah ada, yang tinggal ialah bagaimana mahu manfaatkan Borneo.TV ini sepenuhnya. Namun yang paling penting ialah jangan sampai ada rakyat Sabah yang ketinggalan selepas ini.

Related Posts