SURAT PEMBACA | Hangat seseminggu ini selepas pelancaran Borneo.TV pada hari Selasa 1 Julai 2025 lepas. Saya melihat ada rakyat Sabah atau anak-anak Sabah mempertikai pelancaran ini kerana dikatakan sebagai meminggirkan penggiat seni kreatif dan syarikat produksi tempatan.
Ada juga yang berkata syarikat swasta yang bekerjasama dengan wakil kerajaan negeri iaitu Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), tidak layak kerana bukan syarikat produksi, penerajunya hanya “orang biasa” serta kononnya hanya “random dude“.
Tetapi yang mempertikai itu tidak berani pula memberi konteks penuh iaitu “Random dude itu pernah menjadi Naib Presiden dan CEO di stesen-stesen stesen TV besar seperti Astro, NTV7 dan TV Hijrah“.
Rata-rata komen lain pula mempersoal kenapa bukan anak negeri, kenapa bukan syarikat produksi tempatan dan mulalah idea-idea nakal keluar kononnya IB Media ini syarikat kroni kerajaan negeri dan sebagainya.
Ada saya terbaca satu komen kata “Patutlah syarikatnya gagal kerana SMJ memilih syarikat kroni“. Saya semak, individu yang memberi komen itu datangnya dari sebuah syarikat produksi dan masih muda orangnya. Sebab itulah bagi saya pentingnya kita membuat semakan bagi menentukan kesahihan satu-satu perkara. Benar atau tidak apa yang dikatakan terhadap kerajaan negeri, semua pihak wajib mengumpul maklumat dan betulkan fakta terlebih dahulu sebelum menuduh sembarangan.
Maka pandangan ikhlas saya seperti di bawah;
1. Cuba kita berfikir sejenak dan soal diri sendiri kenapa kita tidak terfikir untuk buat platform sebegini dan ajak persatuan cadangkan kepada kerajaan negeri? Kenapa bila kerajaan negeri buat, kita mahu melenting atau menuduh tidak dilibatkan dari awal? Sedangkan ketika itu baru sehari dua Borneo.TV dilancarkan.
2. Mengikut kefahaman saya, syarikat yang diberikan tanggungjawab serta kepercayaan oleh Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah ini iaitu IB Media Consultant Works Sdn Bhd, dikenali sebagai AGENSI PENGURUSAN TV serta ia dimiliki oleh “orang TV”.
3. Cakap-cakap mengatakan beliau sebagai “orang biasa” itu jelas salah. Boleh guna Google sahaja jika ada yang masih sangsi. Jika ada individu lain rasa peneraju IB Media ini tidak layak, mungkin beliau boleh cadangkan namanya sendiri, itupun jika pernah menjadi “orang TV” dan memiliki agensi pengurusan TV. Tetapi pengalaman dan kepakarannya tidak boleh kurang, malah perlu lebih lagi.
4. Faktanya ialah IB Media ini AGENSI PENGURUSAN TV. Selaku anak Sabah, saya sendiri berasa malu kerana ramai yang di dalam industri kreatif kami di Sabah gagal membezakan antara “agensi pengurusan TV” dan “syarikat produksi”. Sebagai pemain industri, kita kena tahu bezakan antara keduanya. Jika tidak mampu bezakan sekalipun, guna Google sahajalah.
5. Kita juga perlu faham sepenuhnya bahawa dalam dunia TV dan penyiaran ini, sekiranya ada pengetahuan dan pengalaman serta masih ada hubungan baik dengan mana-mana stesen TV, ia akan menjadi satu kelebihan. Bukan baru mahu bertatih-tatih belajar mengenai industri penyiaran.
6. Pandangan peribadi saya, suka atau tidak memang kena letak “orang TV” dan bukan “orang produksi” kerana kita tidak boleh main letak sesiapa sahaja atas alasan dia asal negeri kita. Bukankah satu kelebihan buat Borneo.TV jika dapat individu nombor satu dan paling kanan yang pernah menjaga semua urusan penyiaran di bawahnya?
7. Saya juga terbaca bahawa kerajaan negeri tidak memberikan dana kepada Borneo.TV serta segala keputusan terletak atas tangan SMJ. Maka anak-anak Sabah pasti akan diberi keutamaan.
8. Saya pula sentiasa berfikiran positif kerana apabila dengar pelancaran Borneo.TV ini pada hari Selasa lepas, tiba-tiba saya terus terfikirkan Akademi Fantasia! Mana tahu IB Media ini boleh melobi untuk buat AF versi anak-anak Sabah sahaja! Tentu manfaatnya kembali kepada rakyat Sabah sepenuhnya. Iklan masuk, penaja masuk dan macam-macam lagi kita boleh dapat. Itu baru satu belum lagi yang lain.
9. Sebab itulah fakta di atas ini amat penting kerana hidup mati Borneo.TV ini bergantung pada bagaimana ia mahu beroperasi. Suka atau tidak penerajunya mesti mempunyai hubungan baik sedia ada dengan syarikat-syarikat pengiklanan dan agensi-agensi ternama yang mampu menaja program serta beriklan di Borneo.TV. Jika baru mahu membina rapport, beri kad namapun orang tidak kenal, jawabnya Borneo.TV tidak akan ke mana.
10. Oleh kerana itulah sebaik-baiknya individu yang menerajuinya telah dikenali dan mempunyai rapport dalam industri penyiaran serta mempunyai hubungan baik dengan kementerian atau agensi berkaitan. Contohnya MCMC, Penerangan, FINAS serta lain-lain agensi atau badan berkaitan dengan industri penyiaran. Ini penting kerana rugi kalau kita terlepas pandang.
11. Exposure luar negara juga penting. Jika pernah bekerja atau pernah berurusan secara terus dengan kementerian mana-mana negara serta rapat dengan stesen TV di luar sana untuk tujuan promosi, ini lebih baik dan menjadi nilai tambah kepada Borneo.TV.
12. Apatah lagi jika pernah bekerja di pelbagai stesen TV luar negara serta masih menjadi Fasilitator & Ketua Delegasi Media Malaysia ke luar negara. Tidak mungkin ini “orang biasa” kerana kerja yang dilakukannya itu sangat luar biasa sehingga diberi penghargaan dan penghormatan bertemu dan makan bersama serta bersalaman dengan pemimpin dan keluarga DiRaja sebuah negara terkaya di Timur Tengah.
13. Dengan pengaruh dan pengalaman sebegini, tentu beliau boleh membantu apa-apa usaha atau kerjasama G2G negara-negara tersebut dengan Kerajaan Negeri Sabah yang sudah tentu bakal memberi manfaat untuk anak-anak Sabah kelak.
14. Paling penting, Borneo.TV yang baru berusia seminggu ini seumpama “blank canvas” dan kitalah anak-anak Sabah yang bakal mencorakkannya. Tentu ada anak-anak Sabah yang mampu membuat kandungan (content) yang bagus dan kreatif untuk disalurkan ke Borneo.TV.
15. Maka tidak salah kita bersabar sedikit dan bagi peluang kepada SMJ serta IB Media buat kerjanya terlebih dahulu. Kalau lepas setahun namun masih tidak ke mana, maka masa itu bolehlah kita persoalkan semahunya.
Akhir sekali, buat anak-anak Sabah, terutamanya syarikat-syarikat produksi, pembuat content serta pemain-pemain industri seni dan kreatif, jangan rasa ketinggalan tetapi bijaklah mengambil peluang untuk memanfaatkan platform Borneo.TV yang sudah tersedia depan mata kita ini sepenuhnya.
Jangan over thinking tetapi berfikirlah dengan rasional.
Terima kasih.
Juhar Ahmad – anak KK hidupnya di KL
(Surat pembaca ini dihantar melalui emel dan beberapa istilah atau bahasa Sabah dan dialek tempatan telah diubah dan disesuaikan dengan format penulisan standard di Editor Malaysia untuk memudahkan semua pembaca – terima kasih)