CERITA SABAH DI MATA DUNIA?

70
SHARES
227
VIEWS

SURAT PEMBACA | Kemunculan sebuah platform media dikenali sebagai Borneo.TV menjadi tajuk bualan hangat dalam kalangan orang ramai terutamanya penggiat seni kreatif di Sabah. 

Segelintir penggiat seni kreatif tempatan “terasa dipinggirkan” apabila tidak terlibat dengan kelahiran saluran media online yang baru berusia seminggu lebih ini.

Ada juga yang mempertikaikan halatuju entiti media penyiaran tersebut yang dikendalikan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan kerjasama sebuah syarikat swasta dari luar Sabah.

Kenapa bukan orang kita yang menerajuinya? Tidak kurang juga, komen ‘nakal’ yang menganggap kewujudan Borneo.TV ini hanya strategi kerajaan menjelang PRN DUN Sabah tahun ini.

Jelas, persoalan ini akan terus bermain di media sosial dalam tempoh singkat ini sambil mereka menunggu variasi kandungan yang akan disajikan dengan tema “Cerita Sabah di Mata Dunia”.

Daripada sudut pandang saya secara peribadi, persepsi negatif ini sebenarnya perlu diiringi dengan kewarasan dan rasional seseorang itu dalam menilai sejauh mana manfaat Borneo.TV kepada kita.

KALAU BUKAN SEKARANG, BILA LAGI?

Realitinya, kita sedang menjalani kehidupan dalam dunia serba moden yang semakin canggih dari semasa ke semasa.

Kebergantungan kepada stesen media konvensional atau arus perdana pada masa kini semakin merosot dengan adanya dunia media digital yang dijadikan platform alternatif untuk perkongsian berita semasa, karya seni kreatif dan sosio-budaya masyarakat.

Borneo.TV merupakan langkah yang tepat untuk Kerajaan Negeri Sabah manfaatkan sepenuhnya sebagai saluran utama mengangkat suara dan wajah anak-anak Sabah di persada antarabangsa.

Bukan sesuatu yang mudah namun kita perlu bermula dari sekarang untuk mengorak langkah ke depan menggunakan segala kemudahan yang ada di depan mata. Kalau kita lambat, sampai bila kita “mau bubut” (kejar) kepesatan teknologi yang berkembang pantas setiap detik.

Saluran media digital seperti Selangor TV dan TVS di Sarawak adalah inspirasi yang baik untuk kita contohi. Justeru, jalinan kerjasama perlu dilakukan bersama agensi terlibat dalam usaha meningkatkan kemahiran dan pengalaman dalam bidang penyiaran. Persaingan itu sudah pasti wujud, tapi imej dan jenama kita tampilkan membezakan kita.

MESTI ADA 3K!

Menjawab isu kenapa syarikat luar yang diberi tanggungjawab mengendalikan saluran ini? Jawapannya… pengalaman adalah segala-segalanya. Mengurus dan mengekalkan sebuah saluran media khususnya berkonsepkan TV ini memerlukan mereka yang berpengalaman dalam bidang penyiaran TV.

Saya yakin di Sabah Negeri di Bawah Bayu belum ada individu atau entiti yang pernah membuka stesen penyiaran TV secara menyeluruh. Pengalaman syarikat yang dilantik itu seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya dalam masa yang ada ini bergantung kepada tempoh kerjasama mereka. Ini penting untuk legasi Borneo.TV dapat diteruskan oleh anak watan Sabah pada masa akan datang. 

Hakikatnya memang ada banyak syarikat produksi atau kita panggil production house yang sedia ada di Sabah namun kredibliti syarikat luar ini tidak boleh disangkal dengan pengalaman sebelum ini di stesen televisyen arus perdana.

Apa yang penting sekarang ialah 3K iaitu kemahiran, kos dan komitmen. Ini wajib ada dan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

i. KEMAHIRAN

Kita seharusnya mengambil peluang keemasan ini untuk belajar sesuatu daripada syarikat yang mengendalikan Borneo.TV. Melihat kepada pengalaman mereka, kita perlu memahirkan diri sendiri meneroka dunia televisyen seiring dengan teknologi masa kini.

Daripada sudut teknikal khususnya, kelengkapan fasiliti kejuruteraan penting dalam memastikan kualiti kandungan siaran mencapai standard yang ditetapkan. Kemahiran ini perlu dikuasai dengan kemudahan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh menjadi nilai tambah kepada Borneo.TV pada masa akan datang.

ii. KOS

Kalau ada pengalaman, ada ilmu, ada kemahiran tetapi kedudukan kewangan tidak stabil akan menjadi faktor yang bakal merencatkan operasi sesebuah entiti media penyiaran.

Pengendali perlu mengkaji pendekatan terbaik dalam menjalankan operasi dengan kemudahan teknologi sedia ada sebagai permulaan. Kos tinggi mencecah jutaan ringgit diperlukan untuk mengupah tenaga kerja serta melengkapkan peralatan teknikal dalam tempoh terdekat ini.

Oleh itu, pengurusan kewangan yang baik perlu ada di samping idea baharu untuk menjana pendapatan saluran media ini.

iii. KOMITMEN

Borneo.TV ini bukan strategi PRN maka komitmen tinggi diperlukan dalam memastikan saluran tersebut terus relevan walau tampuk pemerintahan kerajaan negeri bersilih ganti. Kepentingan utama adalah objektif wujudnya Borneo.TV membawa Cerita Sabah di Mata Dunia terus konsisten sampai bila-bila.

LAMA, APA TUNGGU LAGI?

Bak kata orang putih “We All Have To Start Somewhere”, sesungguhnya kita perlu menggunakan pendekatan positif menyambut baik wujudnya Borneo.TV ini dan impaknya kepada industri kreatif Sabah.

Permulaan yang baik daripada Kerajaan Negeri Sabah untuk memartabatkan seni kreatif tempatan. Saya ingin melihat jalinan kerjasama Borneo.TV ini bersama agensi media lain yang berkaitan dan paling penting, kolaborasi bersama institusi pendidikan di Sabah untuk menggembleng bakat dan potensi anak muda dari bangku sekolah lagi.

Contohnya, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memiliki fakulti seni memerlukan pendedahan untuk para pelajar sebelum mengakhiri pengajian mereka dan berjuang dalam dunia pekerjaan serba mencabar nanti.

Selain itu, sesi libat urus perlu diadakan bersama penggiat seni kreatif tempatan untuk menentukan format dan kualiti karya seni yang boleh diketengahkan bersama dalam saluran ini. Kerjasama erat antara kita penting memastikan visi dan misi Borneo.TV dapat direalisasikan dan boleh dibanggakan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Jangan terlampau “karas” (keras) menerima sesuatu yang baharu. Lembutkan hati cari solusi terbaik untuk membangunkan prestasi dan membuka potensi lebih besar dalam dunia seni kreatif dari Negeri di Bawah Bayu.

Adakah anda mahu melihat Sabah ada Stesen TV dan Radio sendiri dalam masa 10 tahun akan datang? Bukan sekadar mimpi..Sudah tentu impian ini harus menjadi realiti dan kita perlu bekerjasama menjayakannya satu hari nanti.

Borneo.TV semoga maju jaya!

MRS – Anak Borneo di Kuala Lumpur

(Penulis berkongsi pandangan berdasarkan pengalamannya dalam bidang penyiaran dan
pemberitaan selama hampir 20 tahun)

Related Posts