BIJAK AMBIL PELUANG, ELAK RASA TERPINGGIR, MANFAATKAN PLATFORM BORNEO.TV SEPENUHNYA

111
SHARES
357
VIEWS

Stesen TV, media sosial & AI

Ledakan teknologi termasuk kecerdasan buatan (artificial intelligence) atau AI semakin memberikan impak dan mengubah landskap dunia. Bagi mereka yang terlibat dalam industri kreatif,  terutamanya dalam kalangan pempengaruh, pemain industri dan penggiat seni, dengan teknologi hari ini termasuk AI, ia lebih mudah dilaksanakan.

Ini termasuklah jika berhasrat ingin mengadakan channel televisyen sekalipun, dengan menggunakan media sosial seperti YouTube, TikTok dan Facebook. Malah pelbagai media sosial lain juga boleh digunakan agar capaiannya semakin luas, yang secara tidak langsung bakal mencipta viewer yang tinggi dan follower yang ramai.

Tiada halangan, malah boleh dilancarkan di mana sahaja

Hari ini dengan hanya berbekalkan sebuah telefon sahaja sudah boleh mencipta content dan bersiaran ke seluruh dunia mempromosikan apa sahaja termasuk adat resam dan juga budaya di mata dunia.

Lebih mengujakan, dengan teknologi masa kini, channel atau stesen TV penyiaran secara penstriman digital sebegini boleh dilancar dan dilaksanakan di mana sahaja. Malah pusat operasinya boleh berada di Singapura, Indonesia, atau di London sekalipun.

Tiada halangan bagi mana-mana individu atau organisasi untuk membuka stesen TV sendiri sekiranya berhajat, kerana dunia kini hanya di hujung jari anda.

Ada apa dengan Sabah, Sabah TV dan Daily Sabah?

Sekiranya ada yang mahu membuka channel atau stesen TV yang dinamakan “Sabah TV“, anda perlu bersedia disaman, kerana nama ini telah dipunyai oleh sebuah syarikat media di Turkiye. Ia adalah sebahagian daripada Kumpulan Media Turkuvaz, yang juga memiliki ATV, saluran televisyen utama Turki. Turkuvaz Media Group pula dimiliki oleh Çalık Holding.

Selain itu, “Sabah” yang bermaksud ‘pagi’ dalam bahasa Turkiye juga merujuk kepada sebuah akhbar harian yang diterbitkan di Istanbul. Terdapat juga akhbar bernama “Daily Sabah” iaitu akhbar berbahasa Inggeris dan Arab yang diterbitkan oleh kumpulan media yang sama.

Jika ada pihak mempertikai kenapa tidak gunakan nama “Sabah TV“, suka atau tidak ia sudah tidak boleh digunakan. Hatta jika ada pihak mahu mengambil tindakan ke atas pemilik kumpulan media di Turkiye itu juga tidak mungkin.

Hubungan penting stesen TV dan pengiklanan 

Apapun namanya, kena pandai mencari dana sendiri terutamanya dalam pengiklanan kerana kos operasi tentulah tinggi apatah lagi jika mahu membuat seperti stesen TV besar yang kita kenali hari ini (seperti Astro, NTV7, TV Hijrah dan lain-lain). Dengan dibantu oleh pengiklanan yang kuat maka tentunya ia lebih mudah dilaksanakan.

Perlu individu yang mahir dalam selok-belok operasi TV dan mempunyai hubungan baik dengan pelbagai agensi pengiklanan dalam dan luar negara agar segalanya berjalan lancar dan tidak tersekat di tengah jalan.

Dana sendiri, kena bijak mencari iklan

Sama juga jika sebuah stesen TV dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan negeri sekalipun namun jika prinsipnya perlu mencari dana sendiri maka jelas faktor pengiklanan memainkan peranan yang teramat penting.

Sama seperti mahu bersiaran di YouTube atau TikTok, jika tiada iklan yang masuk tentu bakal tidak kesampaian. Untuk membawa iklan masuk tentu memerlukan viewer yang tinggi dan follower yang ramai.

Jika salah langkah dan pendekatan beremosi diambil tentu memalukan jika gagal di tengah jalan setelah gah dilancarkan.

Platform BORNEO.TV

Alhamdulillah awal Julai 2025 platform BORNEO.TV ini sudahpun tersedia dan dilancarkan oleh Ketua Menteri Dato’ Sri Hajiji Noor dan Kerajaan Negeri Sabah.

Inilah peluang untuk anak-anak Sabah mengembangkan bakat dan kreativiti, sekaligus mempromosi wajah, suara dan budaya masing-masing ke seluruh dunia. Bayangkan 35 kumpulan etnik yang pelbagai boleh mempunyai salurannya sendiri, Insya-Allah.

Jika sebelum ini tiada siapapun terfikir untuk membuat sebuah stesen TV, kini kerajaan negeri sudah menyediakan platform di depan mata, tinggal mahu digunakan sahaja.

Bijak ambil peluang, gunakan platform yang ada sepenuhnya

Namun jika kita masih bersikap tertutup seperti hidup di bawah tempurung, asyik bersentimen kenegerian dan taksub dengan pandangan masing-masing serta tidak habis-habis “playing as a victim” kononnya dipinggirkan, pasti tidak akan ke mana.

Sedangkan ruang dan platform sudahpun tersedia seluas-luasnya untuk anak-anak negeri Sabah berkarya. Apa salahnya perkara yang baik kita ambil dan yang buruk kita perbaiki atau tinggalkan?

Justeru,  rebutlah peluang yang tersedia untuk mengembangkan bakat dan kreativiti yang ada. Gunakanlah sebaik-baiknya demi mencapai matlamat yang sama iaitu mempromosikan “Cerita Sabah di Mata Dunia“.

Related Posts