PERBEZAAN KETARA ANTARA AGENSI PENGURUSAN TV DAN SYARIKAT PRODUKSI

83
SHARES
268
VIEWS

Masyarakat umumnya hari ini lebih mengetahui mengenal syarikat produksi (production house) berbanding agensi pengurusan televisyen (TV).

Kenapa kekeliruan ia berlaku hatta terhadap pemain-pemain industri itu sendiri? Ini terjadi mungkin kerana terdapat ratusan malah ribuan syarikat di luar sana yang berlatar belakangkan syarikat produksi namun hanya berapa kerat sahaja agensi pengurusan TV, yang wujud di luar sana. Maka ia sukar dibezakan, malah dilihat sebagai satu ataupun sama sahaja.

Realitinya agensi pengurusan TV merangkumi aspek perniagaan dan operasi yang melibatkan pengurusan dengan stesen atau badan penyiaran serta rangkaian dan saluran televisyen secara terus. Ini termasuk penjadualan program, analitik khalayak, pemerolehan kandungan, pengaturcaraan, penjadualan slot serta pengiklanan dan juga strategi rangkaian keseluruhan.

Berbeza dengan syarikat produksi yang khusus memfokuskan kepada penciptaan dan pengeluaran fizikal kandungan media, turun padang dengan pelbagai kelengkapan khusus termasuk krew, untuk menyediakan bahan atau kandungan (content) untuk rancangan atau program TV (termasuk program realiti), drama, dokumentari, iklan dan sebagainya, termasuk juga filem.

Sungguhpun begitu, itu cerita belakang tabir dalam penyediaan kandungan atau content, bukan berurusan secara terus dengan stesen TV terkemuka dalam negara antaranya Astro, TV3, NTV7, 8TV, RTM dan lain-lain, yang memerlukan kepakaran khusus pengendali dan agensi pengurusan TV yang biasa berurusan dengan mereka di peringkat tertinggi.

Ini bukan kerja main-main kerana ia melibatkan badan dan stesen penyiaran yang dilihat bukan sahaja di peringkat nasional malah ke seluruh dunia. Perlu individu yang profesional dan dikenali serta tahu selok-belok industri penyiaran yang penuh dengan ranjau, onak dan duri untuk berurusan dengan pelbagai lapisan dan ‘kerenyahan’ di sebaliknya.

Ini tugasan dan tanggungjawab secara terus dengan syarikat-syarikat konglomerat yang memiliki stesen-stesen TV dan pemegang taruhnya yang tentu mempunyai kehendak mereka sendiri.

Malah juga perlu bijak berurusan dengan syarikat pengiklanan dan swasta lainnya yang terlibat, dalam menarik minat mereka mendapatkan slot tertentu di platform penyiaran dan penstriman yang disediakan.

Ini termasuklah berurusan dengan FINAS, MCMC, kementerian terlubat dan pemegang taruh yang lain dalam industri penyiaran, termasuk bijak meneliti trend serta minat pengguna, untuk disalurkan kepada syarikat produksi agar membuat content yang diperlukan stesen TV dan berkualiti.

Dengan content yang bagus dan bernilai tinggi maka ia akan menarik minat kepada platform penyiaran dan penstriman yang disediakan. Barulah pelabur datang dan pelaburan mula masuk, iklan melimpah-ruah serta pelbagai pihak mula membuka mata dan menghulurkan tangan untuk bekerjasama.

Di peringkat ini, tiada lagi emosi, tiada lagi sentimen perkauman atau kenegerian, apatah lagi kesilapan, yang wajib dielakkan terus. Yang diperlukan di peringkat ini hanyalah kepakaran dan pengalaman luas dalam industri penyiaran.

Di sinilah ‘tradecraft‘ dan kualiti agensi pengurusan TV diperlukan semaksima mungkin. Tujuannya hanya satu, untuk membawa platforms yang diterajuinya mampu bersaing di peringkat dalam dan luar negara dengan kandungan-kandungan dan program yang bertaraf dunia.

Related Posts