YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak bersikap pesimis merujuk kepada hubungan antara Amerika Syarikat dan China. Ini kerana dalam pertemuan dan maklum balas yang diperolehinya termasuk dari Presiden Rusia Vladimir Putin, Anwar berkeyakinan bahawa kedua-dua pihak masih waras dan mahu mengelakkan pertembungan. Meski wujud ketegangan geopolitik, khususnya melibat Taiwan, beliau percaya ruang diplomasi dan rundingan masih terbuka luas.
Justeru, kenyataannya jelas bahawa tidak siapa sebenarnya mahukan perang. Malah, ketika era Trump sekalipun, beliau dapati pendekatannya tidak mendorong kepada peperangan terbuka. Ini memperlihatkan bahawa meski retorik politik kadang kala keras, niat pemimpin utama dunia adalah untuk mengekalkan kestabilan dan mengelak bencana serta musibah yang akan merugikan semua pihak.
Sebagai Perdana Menteri Malaysia, Anwar berkata beliau melihat keperluan untuk negara-negara membangun memainkan peranan sebagai suara penimbang tara. ASEAN dan negara-negara selatan global harus menjadi wakil untuk memperkukuh diplomasi, bukan medan mempertonjol pengaruh kuasa besar. Kita perlu menzahirkan tindakan yang rasional, mengutamakan damai dan mendukung dialog—bukan konflik.