Dalam lawatan rasmi selama dua hari ke Perancis selepas Itali, YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim sempat bertemu warga Malaysia di Perancis dan membuka ruang perbincangan yang bermakna mengenai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.
Dalam ucapannya, beliau tekankan bahawa Malaysia amat bergantung kepada bakat muda untuk mencorak masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing.
YAB Perdana Menteri juga menasihati mereka agar menuntut ilmu dengan penuh kesungguhan, kerana kejayaan dalam apa jua bidang bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga satu tanggungjawab untuk menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Malaysia memerlukan generasi muda yang cemerlang, berprinsip dan bersedia memikul amanah besar dan bersedia menjadi agen perubahan yang akan menerajui kemajuan negara ke arah masa depan yang lebih gemilang.
Beliau turut berkongsi mengenai ikhtiar Kerajaan MADANI dalam melaksanakan pembaharuan menyeluruh merangkumi pertumbuhan ekonomi yang inklusif, tadbir urus yang berintegriti serta keadilan sosial yang memartabatkan setiap lapisan rakyat.