Bismillahirrahmanirrahim,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat baginda, para syuhada dan pejuang yang telah menumpahkan keringat dan darah untuk menegakkan kebenaran serta membela tanah air daripada belenggu penjajahan.
Hari ini, kita menyegarkan dhamir kita dengan penuh kesyukuran dan rasa tanggungjawab untuk memperingati ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-68. Tanggal 17 Safar 1377 Hijriah bersamaan 31 Ogos 1957 akan sentiasa terpahat dalam lipatan sejarah bangsa sebagai titik tolak kebangkitan rakyat Malaysia menuntut hak mereka untuk hidup merdeka, bermaruah dan berdikari.
Kemerdekaan yang kita kecapi bukan datang dengan mudah. Ia lahir daripada pengorbanan para pejuang — sama ada yang tercatat dalam dokumen rasmi mahupun yang tidak dikenali, dari golongan ulama, tokoh rakyat, petani, nelayan, buruh, pelajar dan wanita yang bangkit menentang penindasan kolonial. Mereka mengorbankan masa, harta dan nyawa agar kita dapat menghirup udara kebebasan hari ini.
1. Mengangkat Martabat Malaysia
Kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajah, tetapi juga pengisian terhadap erti martabat sebuah negara.
Mengangkat martabat Malaysia bererti:
● Membina rakyat yang teguh dengan nilai luhur, tidak hanyut dalam gelombang materialisme.
● Menjadikan ekonomi berasaskan keadilan dan daya tahan, bukan sekadar mengejar keuntungan kapitalis yang merugikan rakyat bawahan.
● Menegakkan kedaulatan undang-undang yang adil, tanpa memilih bulu.
● Memastikan politik kita bersih daripada amalan rasuah dan perebutan kuasa yang merosakkan.
Martabat Malaysia juga terserlah apabila negara ini mampu menjadi suara yang berprinsip di peringkat antarabangsa. Dunia menyaksikan bahawa Malaysia pernah menjadi pembela tegas isu kemanusiaan — terutama dalam mempertahankan Palestin, Rohingya, Uighur, Kashmir dan pelbagai bangsa tertindas. Itulah erti kemerdekaan yang sebenar: bebas daripada ketakutan, bebas daripada pengaruh kuasa besar, dan berani menyatakan kebenaran.
2. Menghayati Jiwa Madani
Kita ketengahkan tahun ini, bicara Mengangkat Martabat Malaysia, Menghayati Jiwa Madani, membawa makna mendalam.
Jiwa Madani bukanlah sekadar slogan, tetapi satu gagasan kehidupan yang menyatukan pembangunan material dengan keluhuran rohani. Ia berakar daripada nilai Islam yang menegakkan rahmatan lil-‘alamin — rahmat untuk sekalian alam.
Menghayati Jiwa Madani bermakna:
Kita membina sebuah masyarakat yang berteraskan keadilan sosial.
Kita mengangkat perpaduan sebagai asas negara, bukan sekadar retorik politik.
Kita mengutamakan pendidikan yang membentuk akhlak, bukan hanya mengejar angka pencapaian.
Kita membela golongan miskin, tertindas, anak yatim, warga emas dan orang kelainan upaya dengan penuh kasih sayang.
Kita memastikan pembangunan tidak merosakkan alam sekitar, kerana manusia adalah khalifah yang dipertanggungjawabkan menjaga bumi.
Kemerdekaan yang berjiwa Madani juga bermaksud Malaysia tidak boleh menjadi bangsa yang hanya mengejar kemewahan duniawi, tetapi mesti memiliki roh spiritual yang menuntun akal budi, menegakkan kebenaran, serta menyuburkan kasih sayang sesama manusia.
3. Muhasabah Generasi Kini
Saudara dan saudari yang saya kasihi,
68 tahun merdeka seharusnya mengajar kita bahawa kemerdekaan itu bukan hak yang kekal jika kita lalai. Penjajahan bentuk baharu kini sedang meresap masuk melalui ekonomi yang bergantung kepada kuasa luar, budaya hedonisme yang merosakkan identiti bangsa, serta politik perpecahan yang menghakis perpaduan.
Generasi muda khususnya perlu menyedari bahawa mereka pewaris kemerdekaan. Mereka tidak boleh menjadi generasi yang lalai dan terputus daripada sejarah. Mereka mesti mewarisi semangat pejuang, namun dengan pendekatan baharu yang relevan dengan zaman.
Kemerdekaan ini juga menuntut kita berani menyoal diri:
Adakah Malaysia benar-benar bebas daripada pengaruh kuasa besar?
Adakah rakyat terbela daripada kezaliman ekonomi dan jurang kaya-miskin?
Adakah kita mampu melahirkan bangsa yang berilmu, berakhlak dan bermaruah?
Jika jawapan masih belum memuaskan, maka kemerdekaan ini belum sempurna pengisiannya.
4. Malaysia dan Tanggungjawab Sejagat
Kemerdekaan Malaysia tidak boleh dilihat terpisah daripada perjuangan umat sejagat. Hari ini, ketika kita menyambut merdeka, rakyat Palestin masih dijajah, umat Rohingya masih terlantar tanpa negara, dan banyak bangsa lain masih merintih menuntut kebebasan.
Maka menjadi kewajipan kita, sebagai bangsa merdeka, untuk berdiri bersama mereka. Malaysia tidak boleh menjadi penonton, tetapi mesti menjadi pembela yang berani. Jiwa Madani mengajarkan bahawa kemerdekaan kita mesti digunakan untuk membela sesiapa sahaja yang masih dirantai penjajahan.
5. Penutup
Hadirin yang dirahmati Allah,
Kemerdekaan adalah amanah. Mengangkat martabat Malaysia bermakna kita menegakkan maruah negara dengan ilmu, akhlak, ekonomi yang adil, dan kepimpinan yang berprinsip. Menghayati Jiwa Madani bermakna kita membina bangsa yang berjiwa besar, berkasih sayang, dan menjadi teladan kepada dunia.
Pada hari yang bersejarah ini, marilah kita memperbaharui ikrar:
Bahawa kita akan mempertahankan kemerdekaan ini dengan segenap jiwa dan raga.
Bahawa kita akan mewariskan sebuah negara yang lebih baik kepada generasi akan datang.
Bahawa Malaysia akan berdiri megah di persada dunia sebagai negara yang bermartabat dan berjiwa Madani.
Dirgahayu Malaysia!
Hidup rakyat!
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM
31 Ogos 2025