KDN: KEMPEN DISKAUN PENGURANGAN SAMAN KEBANGSAAN SEBANYAK 50 PERATUS

64
SHARES
208
VIEWS

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

KENYATAAN MEDIA

KEMPEN DISKAUN SAMAN KEBANGSAAN DENGAN TAWARAN PENGURANGAN SAMAN TRAFIK PDRM SEBANYAK 50 PERATUS MELALUI APLIKASI MYBAYAR DENGAN LOG MASUK MENGGUNAKAN MYDIGITAL ID

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama MyDigital ID melancarkan Kempen Diskaun Saman Kebangsaan dengan tawaran pengurangan saman trafik PDRM sebanyak 50%.

2. Tawaran ini hanya sah untuk pembayaran melalui aplikasi MyBayar PDRM menggunakan log masuk MyDigital ID, sekaligus memastikan kemudahan ini khusus kepada rakyat Malaysia. Kempen berlangsung mulai 31 Ogos 2025 sehingga 16 September 2025. Justeru, semua rakyat dipelawa mengambil tawaran keemasan pengurangan saman bagi melangsaikan tunggakan saman trafik PDRM.

3. Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, “Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kerajaan mengambil pendekatan untuk bukan sahaja meraikan pencapaian negara, tetapi juga memberi manfaat terus kepada rakyat. Tawaran pengurangan saman ini adalah simbol penghargaan kerajaan kepada rakyat Malaysia, di samping menggalakkan penggunaan identiti digital nasional sebagai asas kepada transformasi digital perkhidmatan awam. Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengambil peluang ini, serta bersama-sama menyokong usaha kerajaan ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan moden.”

4. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perkhidmatan digital negara, di samping memberi penghargaan kepada rakyat dengan peluang menyelesaikan saman trafik secara lebih mudah, cepat dan selamat. MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan identiti digital yang sah dan dilindungi, memastikan akses yang lebih terjamin, sekali gus mengurangkan risiko penipuan identiti serta penyalahgunaan maklumat peribadi rakyat.

5. Dengan pelaksanaan ini, kerajaan melalui KDN dan PDRM menzahirkan komitmen untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, di samping mengangkat agenda digitalisasi negara seiring dengan semangat kemerdekaan dan kemajuan Malaysia.

Related Posts