AMANAT MERDEKA PRESIDEN PUTRA, BANGKITLAH WAHAI BANGSAKU

89
SHARES
288
VIEWS

KENYATAAN MERDEKA PRESIDEN PUTRA

DEMI KELANGSUNGAN MERDEKA! BANGKIT LAWAN PENGKHIANAT BANGSA & NEGARA

1. MERDEKA YANG DIKHIANATI

Jika roh merdeka ini mati, maka bangsa ini hanyalah mayat berjalan di tanah sendiri. Laungan MERDEKA pada 31 Ogos 1957 bukan sekadar suara tapi ia lahir daripada darah pejuang yang tumpah, daripada air mata ibu yang merelakan anaknya syahid demi kemerdekaan.

Tetapi hari ini, roh merdeka semakin dicemari. Asas negara pada Fasal 151, 152 dan 153 bukan sahaja dipijak, malah dihina secara terbuka. Mereka berkorban untuk merdeka, kita pula rela dijajah semula? Mereka mati mempertahankan bangsa, kita sanggup jadi penonton bangsa sendiri dihina di tanah pusaka ini?

2. MALAYSIA ADALAH TANAH MELAYU!

Jangan lupa asal usul! Malaysia lahir daripada Tanah Melayu, tanah pusaka nenek moyang kita, yang sah diiktiraf dunia. Kontrak sosial bukan lesen hapuskan hak Melayu. Ia perjanjian suci yang wajib dipertahankan sampai kiamat. Sesiapa yang cuba mengubahnya adalah PENGKHIANAT!

Pengkhianat kepada bangsa.

Pengkhianat kepada tanah air.

Pengkhianat kepada darah pejuang!

3. PENCABULAN NYATA

Hari ini kita saksikan pencabulan demi pencabulan apabila…

Bahasa Melayu dipinggirkan, papan tanda asing menjajah mata kita. Hak Melayu dan Bumiputera dipanggil rasis, mahu dihapuskan. Tanah Rezab Melayu yang dahulunya 50 peratus, kini tinggal sekitar 12 peratus, hilang sedikit demi sedikit dengan berbagai cara tanpa diganti semula dan diratah gulongan tamak.

Sejarah bangsa diputar, pejuang Melayu dipanggil pengganas, komunis diangkat jadi wira. Kedaulatan negara tergadai bila pemimpin tunduk kepada kuasa asing. Lebih hina lagi apabila ada yang berani memasang bendera Malaysia secara terbalik, seolah-olah bumi yang dipijak, langit yang dijunjung tidak lagi dihormati.

Ini bukan kelemahan. Ini PENGKHIANATAN terang-terangan dan pengkhianat hanya layak menerima hukuman sejarah!

4. MUSUH DALAM SELIMUT

Bangsa ini tidak runtuh kerana serangan luar, tetapi kerana barah dari dalam tubuh sendiri. Pemimpin rakus sanggup gadaikan maruah demi undi. Tangan hitam menconteng arang demi kuasa. Lidah bercabang melaungkan “reformasi, madani, demokrasi” tetapi merekalah tikus yang mengorek tiang seri bangsa!

Lebih malang, pemimpin Melayu yang berkuasa tidak ada ‘political will’. Mereka hanya pandai melutut, menjilat, dan menggadaikan maruah bangsa demi undi dan kekayaan peribadi, walaupun maruah bangsa sendiri dipijak!

5. CABARAN PENDIDIKAN & INTEGRASI

Sekolah vernakular terus dibiarkan berakar, memisahkan jiwa anak bangsa sejak kecil. Dasar Pelajaran Kebangsaan dihina, seolah-olah bahasa kebangsaan tidak layak jadi nadi penyatuan negara. Anak muda kita lebih kenal lagu K-pop daripada lagu perjuangan. Lebih bangga dengan bahasa asing daripada bahasa Melayu sendiri. Apakah kita mahu lihat cucu-cicit kita menjadi asing di bumi sendiri?

6. AMARAN PUTRA

PUTRA memberi amaran keras, jangan cabar asas negara!

Kami tidak akan tunduk.

Kami tidak akan diam.

Kami tidak akan kompromi!

Biarlah kami dihina, biarlah kami dicaci, tetapi sejarah akan menulis bahawa PUTRA benteng terakhir marhaen, mempertahankan tanah air hingga ke titisan darah terakhir. Jika pemerintah terus buta, percayalah rakyat akan bangkit, dan sejarah akan ditulis dengan tangan mereka sendiri!

7. WAHAI ANAK MELAYU, JANGAN LENA! BELAJARLAH DARI SEJARAH

Red Indian lenyap di tanah sendiri.

Palestin, bangsa asal jadi pelarian.

Orang Champa, hilang dari peta, hanya tinggal nama dalam buku sejarah.

Melayu Singapura ditelan sejarah.

PATI dan pendatang asing sudah berjuta.

Ratusan ribu pelancong China hilang tidak pulang mengikut laporan Ketua Audit Negara.

Justeru adakah kita mahu menjadi begitu di Tanah Melayu? Bumi Melayu sudah dipijak.

Bangkitlah! Jangan biar darah pejuang jadi sia-sia. Sediakan payung sebelum hujan. Menangis kemudian tidak berguna lagi seperti Palestin di Gaza. Kibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar di tiang rumah, tetapi dalam jiwa kita. Inilah erti MERDEKA.

Jeritlah bersama, dengan darah, air mata, dan semangat pejuang!

MERDEKA daripada pengkhianat!

MERDEKA daripada penjajahan baru!

MERDEKA untuk bangsa, agama, dan tanah air!

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Lebih baik kita hancur sebagai pejuang, daripada hidup hina sebagai hamba di tanah sendiri. Kerana apabila matinya roh merdeka, bangsa ini akan dikuburkan tanpa nisan, tanpa doa dan tanpa maruah.

Dato’ Dr. Ibrahim Ali

Presiden Parti PUTRA

29 Ogos 2025

Related Posts