KENYATAAN MEDIA
SALAM BUAT PEMUDA UMNO MALAYSIA DARI TOK HIM PUTRA
Saya akrab dengan Allahyarham Dato Harun Idris dan Syed Jaffar Albar semasa menjadi Presiden KSITM (1972-74), kemudian sertai UMNO (1982) dan dipilih menjadi Exco Pemuda UMNO (1984-87).
Pernah ditahan ISA 1987 kali ke-2 kerana perjuangan Ketuanan Melayu yang digerakkan oleh Pemuda UMNO semasa Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak menjadi pemangkunya – ketika itu menentang MCA yang mempersoal ketuanan Melayu. Nostalgia dan semangat ini mendorong saya meluahkan pandangan ini melalui “SALAM BUAT PEMUDA UMNO MALAYSIA”.
Pertama sekali, saya mengucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO kerana berani tampil dengan penuh keberanian dalam isu KK Mart menjual stoking mempunyai kalimah Allah serta memperjuang menentang isu bendera terbalik.
Malangnya, keberanian itu hanya terhad di gelanggang luar kerajaan berdepan dengan individu atau sesiapa yang hina Islam, Melayu dan kedaulatan negara. Namun dalam isu besar seperti integriti kerajaan, rasuah, keadilan, ekonomi rakyat, Pemuda UMNO membisu. Tidak sama dengan Pemuda pada zaman Dato Harun dan Syed Jaffar.
PEMUDA UMNO PATUT ANGKAT DAN TERJAH ISU-ISU BESAR
Antaranya;
1. Skandal LCS RM11 bilion tapi kapal satupun belum siap dan jerung politik atau orang-orang kebal kenyang. Isu ini sudah senyap walaupun bilion sudah dibayar. Banyak lagi isu MINDEF dan DYMM YDP Agong sudah bertitah dan murka.
2. Pencen RM1.7 bilion pesara tentera tetapi hak mereka terus dinafikan. Mahkamah sudah putuskan.
3. Rasuah, kronisme dan salah guna kuasa membunuh demokrasi.
4. Ekonomi rakyat terhimpit, gaji tidak naik namun cukai bertambah-tambah.
5. Isu Farhash jadi “bilionair segera” sedangkan rakyat hidup susah.
7. Isu kampung dan tanah Melayu diroboh, peniaga gerai kecil Melayu dilayan seperti penjenayah.
8. Isu naik taraf Mahkamah Syariah, pemisahan AG dan Pendakwa Raya, SPRM bawah Parlimen, semua tergantung.
9. Kes Yusof Rawther dan isu pendidikan yang bercangah dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan serta banyak lagi isu yang melanggar Asas Perlembagaan Negara serta isu keadilan rakyat yang sehingga kini dipandang sepi.
10. Isu subsidi yang menjadi hak rakyat terutama diesel dan petrol serta pelbagai cukai baru yang menyebabkan kos sara hidup meningkat dan rakyat semakin tertekan.
Malah banyak lagi isu-isu yang kini memperlihatkan kehidupan rakyat Malaysia seolah-olah seperti telur di hujung tanduk.
PERANAN SEBENAR PEMUDA UMNO
Isu seperti KK Mart atau bendera sepatutnya boleh diserahkan kepada NGO untuk bertindak. Pemuda sepatutnya jadi semak imbang kerajaan sendiri, berani menegur dan mendesak kerajaan seperti Pemuda Pendesak atau Kumpulan Air Halia dan bukan sekadar jadi kucing jinak yang hanya menerkam tikus-tikus jahat di luar rumah.
Sejarah akan membezakan antara pemimpin yang berani setakat isu selamat yang hanya akan dikenang buat sementara atau yang berani di medan sebenar dengan isu-isu besar akan dikenang sepanjang zaman. Jika Pemuda UMNO berjuang atas landasan sebenr pasti disanjung rakyat dan boleh menampung ‘kecederaan’ politik UMNO yang telah melanggar sumpah keramatnya sendiri iaitu “NO DAP, NO ANWAR“.
PUTRA walaupun masih muda usianya dan masih kecil tetapi perjuangan PUTRA besar di medan politik demi rakyat, negara dan menegak hukum demi keadilan dan kebenaran. Kami tidak terhutang budi dengan sesiapa, hanya tunduk kepada rakyat dan berpegang teguh kepada ajaran Islam serta “Amal Maaruf Nahi Mungkar” – tegas menggalas asas Perlembagaan negara tanpa takut dan tidak mencari laba di tempat yang selamat.
“PEMIMPIN BERANI DI MEDAN SEBENAR AKAN DIKENANG SEPANJANG ZAMAN”
Salam hormat buat semua warga Pemuda UMNO dan jika ada yang tersilap dan tersinggung mohon ampun demi perjuangan sebenar demi agama, bangsa dan negara, apapun saya tidak apologetik dan rasa bersalah. Melainkan hanya menzahirkan niat baik dan ikhlas.
Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali*
Presiden PUTRA