TOK HIM MENGUPAS ISU ‘BRAIN DRAIN’, PENGHIJRAHAN TENAGA MAHIR

73
SHARES
234
VIEWS

Saya ada membaca satu tulisan yang mencerca isu penghijrahan tenaga mahir (brain drain) dan hanya menyalahkan pihak lain, seolah-olah ia berpunca daripada Dasar Bumiputera.

Isu penghijrahan
Realitinya perkara ini berlaku adalah kerana fenomena global yang sukar dielakkan. Sejak dahulu, manusia akan berhijrah atau berpindah bagi mendapatkan peluang lebih baik serta kehidupan yang lebih sejahtera.

Dalam pengalaman rakan yang mengajar lebih daripada 1,000 orang pelajar Sarjana Sains (MSc) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), sekurang-kurangnya lima daripada mereka telah berhijrah ke Australia.

Secara terus-terangan mereka memberitahu bahawa tujuan belajar ijazah sarjana adalah untuk memudahkan proses penghijrahan tersebut. Malah, beliau sendiri membantu mereka mendapatkan keputusan yang cemerlang demi mencapai cita-cita tersebut.

Daripada pengalaman ini, saya melihat ada pengajaran besar untuk kita, khususnya buat orang Melayu. Pelajar Melayu yang tidak memperoleh keputusan cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera (BA) atau Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) harus mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Langkah ini bukan sekadar menambah kelayakan di atas kertas, tetapi meningkatkan kompetensi dan daya saing sebenar di pasaran kerja.

Kerajaan sepatutnya mempermudah laluan peningkatan akademik ini dari diploma atau ijazah sarjana muda ke ijazah sarjana terutamanya bagi pelajar Melayu. Kita tidak boleh selesa hanya dengan pencapaian minimum. Sekiranya mahu bersaing dengan tenaga kerja di Singapura, Australia atau China, kita memerlukan bukan sahaja lebih ramai tenaga kerja, tetapi tenaga kerja yang lebih berkualiti.

Keperluan strategik dan kekuatan kuantiti dan kualiti

Untuk jangka masa terdekat, kita memerlukan dua perkara serentak. Pertamanya meningkatkan peratusan orang Melayu dan umat Islam di negara ini agar demografi kekal menjadi benteng kestabilan politik, sosial dan ekonomi.

Yang kedua pula ialah berusaha meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran supaya kuantiti yang ramai ini benar-benar berkualiti tinggi.

Sejarah membuktikan, kekuatan sesebuah bangsa datang daripada gabungan bilangan yang mencukupi dan tahap ilmu yang tinggi. Jika kita ingin masa depan Malaysia selamat, kita mesti memastikan komposisi demografi tidak melemah, malah kekal kukuh seperti 200 atau 300 tahun lalu, tetapi kali ini disertai dengan keupayaan intelektual, teknologi dan kemahiran profesional bertaraf dunia.

Dari tenaga kerja berkualiti ke pemimpin berkualiti

Dengan tenaga kerja Melayu yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran global, kita bukan sahaja mengisi jawatan-jawatan kritikal dalam sektor awam dan swasta, tetapi juga membentuk barisan pemimpin masa depan yang berwibawa. Pemimpin yang lahir daripada sistem ini akan memahami keperluan rakyat, menghormati kepelbagaian, dan pada masa yang sama mempertahankan kedaulatan negara.

Kita harus sedar bahawa negara-negara yang maju hari ini tidak bergantung kepada kebetulan. Mereka merancang, melabur dalam pendidikan, dan memastikan bakat mereka tidak sekadar ramai, tetapi terbaik. Inilah masa untuk kita mencontohi pendekatan tersebut, dengan penyesuaian mengikut acuan Malaysia.

Agenda Nasional yang mesti dilaksanakan

Kesimpulannya, brain drain bukan alasan untuk kita menyerah kalah. Sebaliknya, ia adalah isyarat jelas bahawa kita mesti memperkukuh asas pendidikan, membuka laluan pembelajaran sepanjang hayat, dan pada masa yang sama menjaga keseimbangan demografi negara.

Kita mahu lebih ramai orang Melayu yang bukan sahaja tinggal di negara ini, tetapi menjadi tenaga profesional kelas pertama yang dihormati di peringkat antarabangsa. Dari sinilah kita akan melahirkan generasi pemimpin yang bijaksana, berani, dan berintegriti.

Masa depan Malaysia yang selamat, stabil dan makmur hanya akan tercapai jika kita berani melaksanakan strategi dua serampang dengan kuantiti yang cukup, kualiti yang hebat.

Penegasan terhadap dasar Bumiputera 

Untuk sesiapa yang sentiasa iri hati dengan dasar-dasar afirmitif Bumiputera, sila hayati asas Perlembagaan, belajar menghayati sejarah negara yang berasal dari gabungan negeri-negeri Melayu yang berdaulat.

Sila baca buku “World on Fire” tulisan Prof Amy Chua dari Universiti Yale yang menyelidik dan mengupas betapa pentingnya kaum asal yang juga majoriti perlu diangkat martabatnya terutama dalam bidang ekonomi jika mahu mengekalkan keamanan serta kesetabilan politik negara sepanjang zaman.

Dato’ Dr Ibrahim Ali

Presiden PUTRA

Related Posts