Saya amat terkejut dan terganggu dari segi kedamaian sebagai seorang Islam dan rakyat yang berpegang kepada Prinsip Rukun Negara apabila membaca pendedahan oleh Tan Sri Rais Yatim berhubung kewujudan Batu Mao Zedong Komunis di Semenyih.
Batu tersebut bukan sekadar ukiran biasa, sebaliknya simbol bahaya komunisme yang tidak boleh dipandang ringan. Negara mesti membuka mata, minda dan bersuara sebelum terlambat.
Sebagai Presiden Parti PUTRA, bersama pimpinan dan warga PUTRA, kami menyokong penuh serta tegas pendedahan dan teguran Tan Sri Rais Yatim mengenai penemuan batu berukir wajah Mao Zedong di Semenyih baru-baru ini. Teguran beliau sangat berasas dan wajar diberikan perhatian serius oleh kerajaan serta pihak berkuasa.
Ini bukan isu kecil dan terpencil. Ini bukan sekadar ukiran atau hiasan. Ini adalah simbol ideologi asing yang pernah mengorbankan nyawa rakyat Malaysia satu ketika dulu. Jika kita memandang ringan, kita sedang membuka pintu penerapan fahaman komunisme kepada bahaya yang jauh lebih besar.
1. Sejarah membuktikan bahawa komunis telah mengganas di bumi ini. Dalam Darurat 1948–1960, ribuan rakyat, anggota polis, tentera, guru sekolah dan orang kampung telah menjadi korban. Mereka ditembak, diserang hendap, rumah dibakar, dan kampung dihancurkan. Luka sejarah ini tidak boleh dipadam hanya dengan alasan batu nisan atau artifak. Wajah Mao Zedong bukan sekadar wajah pemimpin luar negara tapi ia simbol tragedi paling berdarah dalam sejarah tanah air.
2. Simbol adalah senjata perang psikologi – Dalam peperangan ideologi, simbol lebih tajam daripada senjata. Bendera, mural, atau potret boleh mengubah persepsi generasi muda. Mao Zedong adalah ikon komunis antarabangsa. Kehadiran wajahnya di tanah Malaysia memberi mesej jelas bahawa komunisme tidak pernah mati, ia menunggu peluang untuk kembali.
3. Tan Sri Rais Yatim bertanya dengan lantang: “PDRM buat apa ye?” dan persoalan ini juga persoalan rakyat. Bagaimana batu sebesar itu boleh terpacak di tanah perkuburan tanpa disedari? Siapa yang membiayai pembinaan? Apa tujuan sebenar ia diletakkan? Jika tidak dijawab segera, rakyat akan hilang keyakinan. Lebih bahaya ia boleh menimbulkan syak wasangka bahawa ada pihak yang cuba menutup kebenaran.
4. Komunis moden tidak lagi mengangkat senjata, mereka menjajah fikiran melalui sekolah, universiti, seminar, dan penulisan. Generasi muda yang tidak pernah melalui pengalaman pahit Darurat mungkin mudah terpengaruh. Jika kawalan pendidikan longgar, anak cucu kita boleh terpesona dengan Mao Zedong, seolah-olah beliau wira. Inilah permulaan penjajahan minda yang lebih berbahaya daripada penjajahan fizikal.
5. Hari ini batu Mao. Esok mungkin mural di sekolah. Lusa mungkin seminar akademik “kajian sejarah” yang kononnya neutral. Inilah strategi perang saraf normalisasi simbol, ubah naratif sejarah, tanam rasa simpati, dan akhirnya menjadikan musuh sebagai wira. Kalau benih ini tidak ditebas, ia akan bercambah menjadi barah yang menghancurkan bangsa. Sebab itu semua ajaran dalam sistem pendidikan mesti wajib menggunakan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan Negara dari bahasa ibunda masing-masing yang sukar menyatukan rakyat dari sesuatu kaum dan fikrah.
Kesimpulannya, jangan bertolak ansur. PUTRA mendesak kerajaan dan rakyat bangkit bersuara dan mengambil langkah segera sebelum nasi menjadi bubur dan sediakan payung sebelum hujan. NGO dan anak-anak muda wajib bangkit bersuara saperti mana semangat menuntut keadilan untuk Allahyarhamah Zara.
Hayatilah pengorbanan dan semangat juang perajurit-perajurit dan pejuang bangsa yang menentang bukan sahaja keganasan komunis tetapi pengembangan ideologi fahaman komunis yang bahaya kepada kepercayaan agama.
Polis mesti siasat dan ambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab meletakkan simbol Mao Zedong di Semenyih. Umumkan hasil siasatan dengan telus, agar rakyat tidak hilang kepercayaan terhadap pihak berkuasa.
Perketat kawalan pendidikan dan institusi akademik, supaya ideologi komunis tidak menyusup masuk. Ingatkan rakyat dengan fakta sejarah sebenar, bahawa komunisme adalah tragedi berdarah, bukan romantisme.
PUTRA menegaskan bahawa komunisme tidak mati. Ia hanya berubah wajah. Ia menyusup, ia menunggu dan ia menyerang ketika kita leka. Sekali kita bertolak ansur, sekali itu benihnya bercambah. Apabila ia tumbuh, bukan lagi batu yang kita hadapi tetapi api yang membakar bangsa dan negara.
Dato’ Dr. Ibrahim Ali
Presiden Parti PUTRA