PUTRA MENJUNJUNG TINGGI TITAH YDP AGONG: MINDEF PERTAHANAN NEGARA, BUKAN DAGANGAN KOMISYEN, ATAU TEMPAT CURI DUIT RAKYAT
PUTRA menyatakan sokongan penuh terhadap titah berdaulat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang menegaskan supaya Kementerian Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama berusia lebih 30 tahun.
Titah Tuanku adalah suara seorang Pemerintah & Ayahanda Bangsa
Titah Tuanku bukan sekadar nasihat, tetapi peringatan sejarah yang lahir daripada pengalaman negara. Baginda mengingatkan kegagalan pahit projek SkyHawk bahawa aset lama yang akhirnya menjadi besi buruk tanpa manfaat, meskipun berbilion ringgit duit rakyat telah dibazirkan.
Soalan baginda, “Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam keranda terbang?” adalah tamparan psikologi yang menusuk ke dalam hati rakyat dan perajurit.
Isu Keselamatan Black Hawk lama yang berusia lebih 30 tahun membawa risiko tinggi, kos penyelenggaraan yang melambung dan tiada nilai strategik jangka panjang. Aset pertahanan seharusnya moden, berteknologi tinggi, dan menepati keperluan operasi.
Membeli aset usang hanya mengulangi “projek rugi” seperti SkyHawk dan Scorpene. Duit rakyat akan terus hangus tanpa pulangan.
Isu integriti yang Tuanku sendiri dedahkan kewujudan orang tengah, bekas pegawai tentera jadi broker, malah individu tidak berkelayakan masuk campur dalam urusan pertahanan. Ini mencerminkan betapa parahnya budaya komisen dan “lubuk emas” dalam Mindef.
Pertahanan negara bukan lubuk komisen
PUTRA mahu rakyat faham bahawa setiap kali aset lapuk dibeli, yang kaya hanyalah orang tengah manakala yang sengsara ialah rakyat dan perajurit sendiri. Jika kerajaan berdegil, rakyat akan melihat bahawa Madani sanggup menggadaikan kedaulatan negara demi kroni dan keuntungan jangka pendek.
PUTRA menegaskan nyawa tentera kita lebih berharga daripada poket broker, dengan itu PUTRA menuntut ketelusan bagi memastikan maruah dan kedaulatan negara tidak terus dijual beli.
PUTRA mendesak supaya;
1. Batalkan segera cadangan pembelian Black Hawk lama dan tumpu kepada aset baharu yang memenuhi keperluan strategik.
2. Tubuhkan Suruhanjaya Bebas Pertahanan untuk menyiasat urusan perolehan ATM sejak dua dekad lalu, agar sindiket komisen dapat dibongkar.
3. Laksanakan dasar ketelusan penuh dalam setiap pembelian pertahanan melalui tender terbuka, laporan audit awam, dan kawalan Parlimen.
4. Utamakan keselamatan nyawa perajurit sebagai prinsip utama, bukan keuntungan orang tengah.
Parti Putra dengan rendah hati menzahirkan junjung kasih di atas keberanian Tuanku menegur isu ini secara terbuka. Inilah bukti bahawa Raja dan rakyat berpadu menolak budaya pengkhianatan dalam pertahanan negara.
Titah Tuanku adalah isyarat jelas supaya hentikan segera budaya “keranda terbang” dan “projek komisen”. Jika kerajaan Madani masih berdegil, maka sejarah akan menulis nama mereka sebagai pengkhianat kedaulatan dan derhaka kepada titah Raja.
Penyelewengan Mindef sudah melampau
PUTRA juga mengingatkan rakyat bahawa isu ini bukan kali pertama Mindef terpalit dengan penyelewengan besar:
Projek Littoral Combat Ship (LCS) yang lebih RM11 bilion sudah dibayar, tetapi sehingga kini sebuah kapalpun tidak siap.
Projek-projek lain juga penuh tanda tanya, daripada harga tidak masuk akal, kelewatan kronik, sehingga kegagalan sistemik.
Semua ini menimbulkan persoalan besar, adakah MINDEF wujud untuk mempertahankan negara, atau sekadar menjadi bank komisen kepada kroni politik?
PUTRA tidak akan berdiam diri. Kami menuntut pembersihan total dalam Mindef kerana keselamatan negara tidak boleh digadaikan lagi. Bersihkan MINDEF dari penyangak dan kaki sakau tanpa mengira siapa mereka.
DAULAT TUANKU
Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali
Presiden parti PUTRA