Alhamdulillah, sebentar tadi, YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim telah mengumumkan beberapa inisiatif penting sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada seluruh rakyat Malaysia. Inisiatif-inisiatif ini merupakan bukti kesetiaan dan sokongan rakyat yang berterusan dalam menyokong agenda pemulihan dan reformasi negara.
Antara inisiatif yang diumumkan ialah:
-
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara one-off kepada semua rakyat dewasa berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad mulai 31 Ogos, sebagai langkah pertama dalam sejarah pemberian bantuan tunai kepada seluruh rakyat dewasa.
-
Hari Kelepasan Am Tambahan pada Isnin, 15 September 2025, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, sebagai tanda penghargaan terhadap ikatan kukuh yang membentuk perpaduan kita sebagai bangsa.
-
Peruntukan Jualan Rahmah MADANI digandakan kepada RM600 juta, dengan peluasan ke seluruh 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi memastikan harga barangan asas mampu milik lebih dekat dengan setiap keluarga.
-
Tiada Kenaikan Tol untuk 10 lebuh raya utama, di mana kerajaan telah memperuntukkan lebih RM500 juta untuk memastikan rakyat Malaysia terus menikmati kemudahan lebuh raya tanpa beban tambahan.
-
Penurunan Harga Petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, demi memastikan rakyat Malaysia dapat terus menikmati harga bahan bakar yang lebih murah dan berpatutan.
Perdana Menteri dalam kenyataannya menyatakan, “Sejak hari pertama, inilah azam dan arah kita bahawa setiap dasar, setiap keputusan, setiap ringgit yang dibelanja harus mengangkat darjat dan martabat rakyat. Semoga langkah-langkah ini benar-benar menjadi nafas kelegaan buat rakyat terbanyak dan menjadi obor keyakinan untuk kita terus melangkah bersama dalam perjalanan reformasi menuju sebuah negara yang lebih adil, makmur dan sejahtera.”
Dengan pengumuman tersebut, kerajaan Malaysia berharap langkah-langkah ini dapat memberi impak positif kepada kehidupan rakyat dan memacu agenda pembangunan negara menuju masa depan yang lebih gemilang.