Nairobi, Kenya — Selepas menamatkan lawatan rasmi di Johannesburg, Afrika Selatan, Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia kini meneruskan fasa terakhir misi Diplomasi MADANI di Nairobi, Kenya bagi memenuhi undangan rasmi Presiden Dr. William Samoei Ruto.
Lawatan kerja di Johannesburg disifatkan berjaya mencapai objektif utama, khususnya bagi memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor strategik antara Malaysia dan Afrika Selatan. Delegasi Malaysia turut membuka ruang baharu kerjasama yang dijangka memberi impak positif kepada rakyat kedua-dua negara.
Setibanya di Nairobi, Perdana Menteri menekankan bahawa kunjungan ke Kenya membawa potensi penting untuk memperkukuh persahabatan sedia ada, selain meneroka peluang pelaburan serta kerjasama ekonomi dan strategik yang mampu memberi pulangan jangka panjang kepada kedua-dua negara.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa rangkaian pertemuan di Nairobi bakal menjadi pemangkin kepada hubungan bilateral yang lebih erat dan bermakna, berpaksikan kesejahteraan rakyat. Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian terlibat, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria, pasukan keselamatan serta wakil media yang memastikan kelancaran misi diplomatik ini.
Delegasi Malaysia dijangka meneruskan agenda rasmi sepanjang berada di Nairobi, dengan harapan segala urusan dipermudah dan berjalan lancar.





