YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim berkesempatan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 3/2025, sebuah wadah penting untuk menilai kemajuan dan menetapkan arah baharu ekonomi digital negara.
Antara yang dibentangkan ialah pelaksanaan GovTech Malaysia, termasuk aplikasi MyGOV Malaysia yang berfungsi sebagai gerbang digital tunggal kerajaan. Melaluinya, rakyat boleh berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan secara dalam talian tanpa perlu menunggu di kaunter. Ini adalah bukti kesungguhan Kerajaan untuk mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat secara mudah, cekap dan telus.
Kami juga bersetuju mengangkat Transitioning Industrial Clusters (TIC) sebagai agenda nasional berikutan ia adalah langkah strategik yang menyatukan syarikat dan institusi awam demi memacu pertumbuhan ekonomi hijau, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengurangkan pelepasan karbon.
YAB Perdana Menteri juga berkata beliau tertarik dengan pembentangan terkait hasrat Sarawak membangunkan TIC di Bintulu. Potensi sumbangannya besar, RM12 bilion tambahan kepada KDNK, 19,000 pekerjaan baharu, dan pengurangan 21.35 juta tan pelepasan karbon menjelang 2040.
Usaha ini selari dengan aspirasi negeri ke arah karbon sifar dan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju industri hijau negara.
Dalam perbincangan ini, YAB Perdana Menteri turut menekankan kepentingan peluasan pelaksanaan MyDigital ID ke sektor swasta. Malaysia mesti membina ekosistem digital yang selamat, menyeluruh dan dipercayai bukan hanya dalam urusan kerajaan, tetapi dalam seluruh kehidupan harian rakyat dan aktiviti perniagaan masa depan.