Rencana rasmi YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim hari ini diakhiri dengan mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri bagi meneliti kerangka dan inisiatif utama Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
RMK13 dirangka hasil perbincangan berterusan antara kementerian, agensi pusat dan kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu. Dokumen penting yang akan membentuk hala tuju pembangunan negara untuk tempoh lima tahun ini bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada hujung bulan depan.
Dalam mesyuarat ini, YAB Perdana Menteri memberikan ruang seluasnya kepada barisan menteri dan pengurusan kementerian untuk menyumbang idea, cadangan dan mempertajam pelaksanaan, bagi memastikan setiap jentera kerajaan memahani peranan dalam melaksanakan dasar yang berpijak pada realiti dan tuntutan masa depan ini.
Beliau tegaskan bahawa kejayaan RMK13 bergantung kepada penyelarasan yang kemas serta kesiapsiagaan setiap kementerian untuk melaksanakannya secara berimpak. Setiap jentera pentadbiran perlu bergerak dengan semangat sederap dan seragam sebagai sebuah kesatuan pasukan negara.
RMK13 adalah kesinambungan kepada pembaharuan yang telah digerakkan oleh Kerajaan MADANI sejak dua tahun lalu, berteraskan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menyusun semula struktur ekonomi, mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat, serta membina negara yang lebih adil, mampan dan berdaya tahan.