YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim berkunjung ke Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya untuk merasmikan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE), satu tonggak baharu dalam usaha negara menguasai teknologi digital dan AI.
Transformasi digital adalah teras ekonomi MADANI, namun penguasaan teknologi mesti berjalan seiring dengan nilai dan budaya bangsa. Kita perlu “menggapai langit” dengan AI dan teknologi baharu, tetapi tetap ‘”mengakar ke bumi” dengan prinsip, nilai dan identiti kita.
Kerangka ini sudah digariskan dalam RMK13 iaitu menaikkan siling untuk melonjakkan teknologi dan ekonomi, sekaligus menaikkan lantai agar semua rakyat menikmati manfaatnya. Ia juga bagi menjadikan tatakelola sebagai tunjang kerana tanpa tatakelola, reformasi hanya akan melahirkan rasuah, kronisme dan ketidakadilan.
YAB Perdana Menteri turut mengulas penemuan dalam laporan UNU dan McKinsey yang memberi peringatan tentang “AI Productivity Paradox“, bahawa pelaburan besar dalam AI tidak semestinya menghasilkan produktiviti sebenar. Laporan ini menyedarkan kita untuk memastikan setiap peruntukan diukur dengan hasil dan manfaat nyata kepada rakyat terbanyak.
Justeru, keutamaan adalah melahirkan bakat muda yang mampu menguasai AI. Negara tidak boleh hanya bergantung kepada nilai Barat, sebaliknya mesti membina keupayaan sendiri untuk melatih generasi muda sebagai pereka, pencipta dan penggerak teknologi berteraskan identiti Malaysia.
Namun kemajuan ini tidak bermakna jika negara terus dibelenggu budaya kebencian, perpecahan kaum, buli dan rasuah. Pendidikan sejati bukan sekadar ilmu teknikal, tetapi yang mengangkat martabat manusia dengan akhlak, nilai dan rasa hormat sesama insan.
Beliau optimis dengan generasi muda di negara ini. Dengan ilmu, nilai dan keberanian, Malaysia mampu menjadikan negara ini maju dan hebat. Jangan biarkan suara kecil yang menanam kebencian mengaburi pandangan kita.
Selesai pelancaran, YAB Perdana Menteri berdialog dengan mahasiswa dalam sesi Temu Anwar untuk mendengar pandangan dan kebimbangan mereka tentang pekerjaan, kos sara hidup, kebergantungan kepada AI dan bahaya perkauman yang mengancam perpaduan.