CP Datuk M. Kumar S. Muthuvelu hari ini secara rasmi menerajui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JSJ di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, petang tadi.
Pemakaian lencana pangkat Komisioner Polis (CP) pengarah telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail kepada Datuk M. Kumar di hadapan para tetamu yang hadir.
Acara diteruskan dengan penyerahan tugas jawatan Pengarah JSJ antara pemangkunya, DCP Dato’ Fadil Marsus dengan disaksikan oleh Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid disusuli penyerahan dokumen rasmi bersama tongkat kuasa sebagai simbolik penyerahan rasmi jawatan dan tanggungjawab yang bakal dipikul oleh Datuk M. Kumar sebagai nombor satu jabatan berkenaan.
Datuk M. Kumar telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan PDRM untuk menerajui JSJ selaras dengan arahan pertukaran Pegawai Kanan Polis pada 26 Jun lalu.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah berkhidmat hampir 34 tahun dalam pasukan. Sepanjang tempoh tersebut, Datuk M. Kumar telah menyandang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Polis (KP) Johor, Timbalan KP Johor dan Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/ Perundangan/ Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman.
Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid dalam ucapannya berkata, pelantikan Datuk M. Kumar sebagai Pengarah JSJ yang baharu merupakan satu langkah tepat berdasarkan pengalaman luas dalam bidang penyiasatan dan perancangan strategik.
“Harapan saya, Datuk akan membawa arus perubahan positif dan signifikan demi memacu keberdayaan jabatan ini dalam menghadapi cabaran masa kini demi kesejahteraan masyarakat serta keselamatan negara,” ujar beliau.
Dalam majlis yang sama turut berlangsung acara serah terima tugas jawatan Pengerusi PERKEP JSJ antara pemangkunya, Datin Nurashidah Ishak dengan Datin Shanthi P. Santhanam Pillai yang sebelum ini merupakan Pengerusi PERKEP Kontinjen Johor. Ia disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Sri Hjh. Munirah Che Rose.
Hadir sama, barisan Pengarah PDRM, para pegawai kanan, ahli-ahli PERKEP dan rakan media.