36 warga Bangladesh yang ditahan sebelum ini rupa-rupanya turut terlibat sama dalam satu kumpulan Whatsapp yang dipercayai dibuat khusus bagi menyebarkan ideologi dan propaganda ekstremis.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa antara 100 ke 150 warga Bangladesh berada dalam kumpulan sembang WhatsApp yang antara lain bertujuan untuk merekrut ahli dipercayai bagi mengumpul dana untuk disalurkan bagi kegiatan ekstremis Islamic State (IS) di Syria dan Bangladesh.
Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail berkata, perkara itu terbongkar hasil siasatan yang dilakukan PDRM, susulan penahanan awal 36 warga Bangladesh tersebut, yang disyaki terbabit secara aktif dalam kumpulan militan radikal asing berpangkalan di negara ini.
Beliau juga mengesahkan terdapat sejumlah wang dihantar ke negara asal untuk tujuan pengumpulan dana untuk tujuan keganasan. Nama-nama individu, latar belakang, keluarga dan jumlah sebenar dana yang dikumpul masih belum boleh didedahkan kerana siasatan masih berjalan.