BORNEO.TV – CERITA SABAH DI MATA DUNIA

120
SHARES
387
VIEWS

Hari ini amat membanggakan rakyat Malaysia khususnya bagi seluruh anak negeri Sabah, dengan pelancaran sebuah platform digital dan penyiaran penstriman yang dikenali sebagai BORNEO.TV, yang bakal mengetengahkan wajah, suara dan budaya negeri Sabah ke mata dunia.

Ini kerana aspirasi mewujudkan platform ini diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sendiri yang percaya bahawa platform ini bukan sekadar media digital, tetapi sebagai pentas untuk anak-anak Sabah berkarya dan membentuk citra negeri melalui naratif sendiri. Melaluinya, rakyat Sabah yang kaya dengan pelbagai etnik itu boleh mengetengahkan keunikan budaya masing-masing agar lebih dikenali dalam dan luar negara.

Platform penyiaran digital ini bakal menjadi saluran utama bagi menyampaikan kandungan sahih dan juga sebagai medium strategik memaparkan cerita sebenar rakyat Sabah kepada dunia, melalui pendekatan digital yang lebih moden, fleksibel dan global.

Hajiji berkata, gaya hidup masyarakat hari ini daripada komunikasi hingga hiburan, segalanya dipacu digital. Justeru, Borneo.TV adalah respons tepat kepada perubahan ini dan membuka peluang untuk rakyat Sabah tampil dengan kandungan sendiri.

Beliau menambah, pelancaran platform penyiaran itu adalah langkah tepat dalam era media penstriman over-the-top (OTT) yang tidak lagi bergantung kepada saluran konvensional, selain memberi peluang kepada pencipta kandungan tempatan menembusi pasaran lebih luas.

Dunia penyiaran hari ini menuntut kreativiti, keberanian dan kepekaan terhadap kehendak penonton. Saya mahu Borneo.TV jadi ruang untuk mencabar norma, mengetengahkan idea baharu dan memperkenalkan wajah sebenar Sabah.”

Model pelaksanaan ini membuktikan komitmen dan kepercayaan sektor swasta terhadap potensi penyiaran digital di Sabah. Saya yakin pendekatan ini akan meletakkan ia sebagai platform yang berdaya saing dan mampan,” jelas Hajiji lagi.

Sebagai rekod, pelaksanaan BORNEO.TV ini ialah antara inisiatif yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Negeri Sabah di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0, yang menekankan pembangunan sektor ekonomi kreatif sebagai salah satu pemacu utama negeri.

Related Posts