Alhamdulillah, sebuah platform penstriman baharu iaitu BORNEO.TV berjaya dilancarkan hari ini, yang bakal mengetengahkan suara dan budaya negeri Sabah ke mata dunia.
Platform ini yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, bakal menjadi saluran utama menyampaikan kandungan sahih, dokumentari asli, seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah melalui pendekatan digital yang lebih moden, fleksibel dan global.
Hajiji juga berkata platform ini juga bakal menjadi pentas untuk anak-anak Sabah berkarya dan membentuk citra negeri melalui naratif sendiri, ketika melancarkan BORNEO.TV di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Dalam majlis itu turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan IB Media Consultant Work Sdn Bhd, syarikat pengendali Borneo.TV yang beroperasi tanpa sebarang dana kerajaan negeri.
Kerajaan negeri juga memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan BORNEO.TV kerana ia bukan sahaja platform penyiaran, malah medium strategik menyampaikan cerita sebenar rakyat Sabah kepada dunia dengan slogan “Cerita Sabah di mata dunia”.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Sekretariat SMJ dan IB Media atas kejayaan merealisasikan pelaksanaan BORNEO.TV di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0, yang menekankan pembangunan sektor ekonomi kreatif sebagai salah satu pemacu utama negeri.