IZELAN BASAR, TERAJU UTAMA DI SEBALIK BORNEO.TV

94
SHARES
303
VIEWS

Nama BORNEO.TV dan IB Media Consultant Works Sdn Bhd mungkin masih asing di negara ini apatah lagi platform media digital itu baharu sahaja dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pagi tadi.

Dengan pelancaran platform ini serta majlis menandatangani MOU antara Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan IB Media Consultant Works Sdn Bhd, menoktahkan penantian semua pihak yang tertanya-tanya bilakah platform penyiaran digital dan penstriman utama negeri Sabah ini akan dilancarkan. Alhamdulillah, kini semuanya telah dimeterai dan dilancarkan, yang tinggal kini hanyalah kerja keras untuk bersama membawa cerita Sabah di mata dunia…

Sungguhpun begitu, nama peneraju utamanya iaitu Datuk Hj. Izelan Basar sebenarnya bukan lagi asing di negara ini. Cuma selepas meninggalkan TV Hijrah suatu ketika dahulu, nama beliau kelihatan tenggelam, namun realitinya beliau banyak membuat kerja-kerja belakang tabir terutamanya di Timur Tengah.

Beberapa tahun kebelakangan sejak tidak lagi menjawat jawatan CEO di stesen televisyen terkemuka tersebut, Datuk Hj. Izelan asyik berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Arab Saudi, sekali sekala ke UAE, Qatar dan negara Arab lain menjalankan tugas-tugas rasmi beliau di sana.

Sebagai Fasilitator Media & Ketua Delegasi Haji Media Malaysia yang dilantik khusus oleh Kerajaan Arab Saudi, kesibukan beliau terlihat terutamanya di musim haji, apabila dipertanggungjawabkan membawa wakil-wakil media terkemuka dalam negara ke sana. Ini termasuklah kepada influencer atau pempengaruh terkenal tanahair yang mempunyai jutaan pengikut atau follower masing-masing.

Selain banyak memberi peluang pendedahan wartawan dan krew media Malaysia di Arab Saudi, yang lebih mengujakan ialah mereka ini diberi peluang menjalankan ibadah haji yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Arab Saudi sepanjang musim haji sana.

Berbanding jemaah haji yang lain, delegasi haji media Malaysia yang diketuai oleh Datuk Hj. Izelan ini turut menerima layanan VIP sepenuhnya, termasuk diberikan pengiring dan laluan khas sejak ketibaan dan sepanjang menjalani ibadah haji, sehinggalah berangkat pulang ke tanahair.

Lebih mengagumkan, Datuk Hj. Izelan sendiri diberi peluang dan dijemput oleh Kerajaan Arab Saudi menyertai majlis santapan tengahari di Istana King Salman bersama Yang Mulia Raja Salman Bin Abdulaziz Al Saud serta anakandanya Putera Mahkota Muhammad Bin Salman, serta turut diberi peluang bersalaman dengan baginda.

Peluang sebegini kebiasaannya hanya diberikan kepada ketua-ketua negara yang lain termasuk golongan diraja serta jemputan istimewa Kerajaan Arab Saudi yang lain. Pada musim haji tahun ini Datuk Hj. Izelan juga turut bertemu dengan Tuanku Sultan Terengganu dan anakandanya di sana serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Duta Malaysia ke Arab Saudi.

Sebagai rekod, tahun ini merupakan kali ke-4 Datuk Hj. Izelan dijemput ke Istana Raja Salman untuk majlis penghargaan musim haji 1446/2025 dan sekali lagi Kerajaan Arab Saudi memilih beliau dan wakil Indonesia untuk mewakili Media Antarabangsa ke Majlis Santapan Tengahari Penghargaan Musim Haji Raja Salman 1446h bersama Putera Mahkota Mohamad Bin Salman yang juga dikenali sebagai MBS.

Manakala ketika kunjungan Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump ke Arab Saudi sebelum musim haji bermula, kerajaan Arab Saudi turut menjemput Datuk Hj. Izelan hadir ke sana membawa beberapa wakil media Malaysia untuk membuat liputan khas.

Pada musim haji 2024 pula, beliau juga berkesempatan bertemu dengan Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Dato’ Johari Bin Abdul dan sempat beramah mesra bersama di sana.

Alhamdulillah, inilah tokoh yang menerajui BORNEO.TV, sebuah platform digital yang turut mendapat sokongan dan dokongan penuh daripada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Negeri Sabah bagi menggalas tugas berat mengetengahkan wajah, suara dan budaya Sabah ke persada dunia.

Insya-Allah, dengan niat dan tekad yang betul dan ikhlas, nescaya platform yang moden, fleksibel dan global ini mampu menjadi pentas untuk anak-anak Sabah berkarya dan membentuk citra negeri melalui naratif sendiri.

Related Posts