Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menyeru agar seluruh rakyat Sabah terutamanya penggiat seni, pempengaruh digital dan pemain industri kreatif tempatan untuk memanfaatkan BORNEO.TV sebagai pentas untuk mengketengah karya asli, wajah serta suara masyarakat Sabah secara inklusif dan berwibawa.
Beliau menyeru semua pihak, sama ada kerajaan dan swasta serta masyarakat untuk bersama menyokong usaha yang dijalankan. Ini termasuk menggunakan ruang yang ada untuk mencipta, berkongsi dan menyampaikan naratif Sabah sebagaimana yang mereka sendiri mahu dunia melihatnya.
“Saya menyeru semua pihak-kerajaan, swasta dan masyarakat, untuk bersama menyokong usaha ini dan menggunakan ruang ini untuk mencipta, berkongsi dan menyampaikan naratif Sabah sebagaimana yang kita sendiri mahu dunia melihatnya,” katanya.
Hajiji yakin pendekatan yang diambil kerajaan negeri ini mampu meletakkan BORNEO.TV sebagai platform yang berdaya saing dan mampan. Ia juga membuktikan komitmen dan kepercayaan sektor swasta terhadap potensi penyiaran digital di Sabah.
Hajiji menyampaikan amanatnya dalam majlis pelancaran BORNEO.TV yang turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri yang diwakili oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan syarikat pengendali, IB Media Consultant Work Sdn Bhd.
Sebagai rekod, IB Media Consultant Work Sdn Bhd. diterajui oleh Datuk Hj. Izelan Basar, bekas Ketua Pegawai Eksekutif TV Hijrah, yang juga Fasilitator Media & Ketua Delegasi Haji Media Malaysia yang dilantik khas oleh Kerajaan Arab Saudi.