MALAYSIA HARGAI USAHA SHEIKH TAMIM, QATAR MEMETERAI GENCATAN SENJATA ANTARA IRAN, ISRAEL DAN AMERIKA SYARIKAT

63
SHARES
204
VIEWS

YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim menghubungi Emir Qatar, Yang Amat Mulia Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani petang semalam bagi merakamkan penghargaan atas peranan penting beliau dalam memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat.

Ini adalah satu langkah penting yang berjaya meredakan ketegangan serta mengelakkan pertembungan dan konflik yang lebih besar di rantau Asia Barat.

Sheikh Tamim memaklumkan bahawa meskipun Qatar berada dalam kedudukan sukar tatkala turut terheret dalam konflik ini, beliau memilih untuk melihat gambaran yang lebih besar demi keamanan serantau.

YAB Perdana Menteri menghargai ketegasan dan keikhlasan beliau dalam mendukung usaha perdamaian ini, termasuk peranan berterusan Qatar dalam rundingan gencatan senjata antara Palestin dan Israel.

Sheikh Tamim turut memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Presiden Trump dan berbicara mengenai usaha damai ini. Beliau menggunakan kesempatan itu untuk menggesa Amerika Syarikat menumpukan usaha ke arah menghentikan genosid di Gaza serta mewujudkan perdamaian yang adil dan berkekalan.

Malaysia akan terus menyokong segala ikhtiar ke arah penyelesaian damai yang berteraskan prinsip keadilan dan kedaulatan. Rundingan yang jujur serta menghormati hak setiap negara adalah syarat mutlak ke arah membina keamanan yang berpanjangan di rantau ini dan seluruh dunia.

Related Posts