Dunia berdepan dengan cabaran yang semakin kompleks termasuklah jenayah rentas sempadan yang juga menuntut pendekatan baharu dan tuntas bagi menanganinya.
Dalam Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) ke-25 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang berlangsung di Putrajaya semalam menjadi platform utama dalam merangka pelan membanteras 10 jenayah rentas sempadan yang membelenggu rantau ini.
Sepuluh jenayah rentas sempadan berkenaan antaranya ialah jenayah keganasan, jenayah siber, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, pemerdagangan hidupan liar dan balak serta pengubahan wang haram.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan tuan rumah kepada mesyuarat berkenaan memainkan peranan yang amat signifikan dalam merangka pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang bagi memperkukuh usaha memerangi jenayah rentas sempadan di peringkat serantau.
Platform SOMTC ini membolehkan kita bergerak secara kolektif dan menyelaras tindakan di peringkat serantau dan domestik serta kerjasama dengan negara rakan dialog seperti Amerika Syarikat dan China, yang turut memainkan peranan penting dalam aspek pemindahan pengetahuan dan teknologi.
SOMTC ke-25 kali ini menghimpunkan pegawai kanan ASEAN termasuk negara pemerhati Timor Leste dan dihadiri pegawai kanan daripada 10 negara rakan dialog antaranya Amerika Syarikat, China, United Kingdom dan Australia.