BEIRUT — Israel mengesahkan bahawa Ketua Staf Hezbollah, Haytham Ali Tabtabai, terbunuh dalam serangan udara di Haret Hreik, selatan Beirut. Serangan ke atas sebuah bangunan kediaman itu turut meragut lima nyawa dan mencederakan 28 orang, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun, mengecam tindakan tersebut dan memberi amaran bahawa ketegangan baharu itu boleh mencetuskan konflik serantau. Perdana Menteri Nawaf Salam berkata kerajaan sedang menggerakkan usaha diplomatik bagi menghentikan pencerobohan Israel.
Bagaimanapun tentera Israel menyatakan bahawa Tabtabai, bekas komander Unit Radwan, mengetuai operasi ketenteraan utama Hezbollah dan terlibat dalam usaha membina semula kekuatan kumpulan itu selepas kehilangan pemimpin kanan lain.
Media Israel pula melaporkan serangan itu diluluskan oleh pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menggunakan peluru berpandu berketepatan tinggi GBU-39. AS sebelum ini menawarkan ganjaran sehingga AS$5 juta atas maklumat mengenai Tabtabai.
Selepas insiden serangan tersebut, tentera Lubnan memperketat kawalan di kawasan terlibat, manakala penduduk dilaporkan meninggalkan kediaman kerana bimbang berlakunya serangan susulan.
Kedutaan Iran di Lubnan mengecam serangan itu dan menegaskan ia tidak akan melemahkan sokongan terhadap Hezbollah.





