Mahkamah Tinggi membuat keputusan menggantung sementara perintah membekukan tujuh hartanah milik isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga.
Ia termasuk tiga kediaman mewah di London serta satu akaun bank yang didakwa milik Na’imah dan keluarga yang dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
Keputusan tersebut dibuat oleh YAA Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid, selepas membenarkan permohonan dibuat Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Na’imah.
Menurutnya, permohonan perintah pembekuan berkenaan sepatutnya didengar secara kedua-dua belah pihak, di mana prosiding hari ini ditetapkan bagi sebutan permohonan ex parte (sebelah pihak). Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 Julai depan bagi mendengar permohonan tujuh pihak termasuk Yayasan Ilham untuk menjadi pencelah.
Pada 3 Jun lalu, SPRM mendapat perintah secara ex parte untuk membekukan tujuh hartanah terbabit dan satu akaun bank mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang melibatkan harta berjumlah £132 juta (RM758.2 juta).
Harta terbabit ialah sebuah bangunan komersial beralamat di St Mary Axe di London yang dibeli pada Julai 2013 dengan harga £23.7 juta dan sebuah lagi beralamat di One Crown Court, 66 Cheapside, London yang dibeli pada Oktober 2014 dengan harga £31.5 juta.
Hartanah lain ialah tiga kediaman mewah yang beralamat di Bryanston Square serta Bryanston Mews, London yang dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga £37.87 juta dan sebuah lagi beralamat di Lancaster Gate, London, dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga £31.15 juta.
Turut dibekukan ialah dua unit kediaman bersebelahan beralamat di Gloucester Place, London, dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga £8.095 juta serta satu akaun bank.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Iman Wan Mohd Afzal memohon mahkamah membenarkan perintah membekukan harta itu, yang mengikut hasil siasatan awal, dipercayai menggunakan sumber pendapatan dalam negara dan tidak pernah diisytiharkan.
Katanya, mahkamah hendaklah membekukan harta itu sebelum ia dilupuskan.
Bagaimanapun, Gurdial menyatakan pihaknya keliru dan kecewa terhadap permohonan itu kerana tidak pernah menyebut nama mana-mana responden dalam permohonan mereka.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumat dalam hujahan balasnya menyatakan, permohonan dibuat adalah perintah pembekuan dan bukan pelucutan harta.
Perintah diperlukan bagi memastikan status quo (tidak dilupuskan) aset itu sementara siasatan dijalankan. Selepas setahun, sekiranya tiada sebarang kesalahan dikaitkan dengan aset berkenaan, ia akan dipulangkan semula.