BAGAIMANA MUNGKIN SINAR HARIAN BOLEH ‘TERSILAP’ LAPOR PROFIL KPN BAHARU?

69
SHARES
221
VIEWS

SURAT PEMBACA | Assalamu’alaikum Saudara Pengarang, semoga sudi siar surat saya ini.

Saya agak terkilan dengan laporan oleh Sinar Harian pada petang Jumaat lepas di mana mereka boleh tersilap melaporkan mengenai profil Ketua Polis Negara ke-15 yang baharu, dengan mengaitkannya konon terlibat dengan parti politik. Sedangkan beliau baharu sahaja dilantik dan diumumkan beberapa jam sebelumnya.

Sungguh memalukan kerana jika laporan ini dibuat oleh portal biasa yang sensasi mungkinlah tersilap kerana malas membuat kerja dan semakan, tetapi ini akhbar ‘tersohor’, malah mempunyai ramai pekerja. Tentu Ketua Pengarangnya berhati-hati apatah lagi apabila melaporkan mengenai tokoh yang berjawatan tinggi dalam negara.

Timbul juga pertanyaan, adakah kesilapan ini disengajakan? Adakah Sinar Harian ada agenda lain atau sengaja bertindak nakal mahu mencuit pihak tertentu? Apapun alasannya, ia tidak mungkin berlaku kerana ini bukan laporan bagi organisasi kecil atau syarikat yang baru ditubuhkan, yang maklumatnya mungkin sukar didapati dan penulisnya hentam keromo asal dapat siar sahaja?

Walaupun Sinar Harian telah meminta maaf namun kesilapan ini telah menjadi buah mulut dan menimbulkan persepsi negatif atas pelantikannya. Tidak mungkin Sinar Harian tidak boleh menghubungi pihak PDRM dan membuat semakan awal?

Mujurlah pihak PDRM sendiri telah menegur Sinar melalui kenyataan medianya petang Ahad semalam. Mujur juga hari ini Ketua Polis Negara Dato’ Sri Mohd Khalid sendiri berjiwa besar menerimanya dengan hati terbuka dan mengalu-alukan hasrat pihak Sinar Harian untuk bertemunya bagi menjelaskan kesilapan tersebut.

Walaupun KPN juga berharap agar hubungan rapat polis dengan media diteruskan, tetapi diharapkan mana-mana media tidak mengambil kesempatan dan kerja sambil lewa sahaja agar “kesilapan bodoh” seperti Sinar Harian tidak berlaku lagi. Kadang-kadang kita ingat kesilapan seperti ini kecil tetapi ia menyusahkan.

Jika tidak mahu menjaga nama baik sendiri, setidak-tidaknya janganlah sampai menyusahkan atau memburukkan orang lain.

Amran Fauzi, Gemas.

Related Posts