Mesyuarat Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan Bilangan 2 Tahun 2025 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim, memberi tumpuan kepada masa depan aset digital dalam pasaran modal negara.
Antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan perkembangan teknologi blockchain, tokenisasi, kriptografi pasca-kuantum serta pelancaran Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI) yang menjadi pemacu utama ekosistem digital negara.
Mesyuarat ini juga turut menjadi medan bertukar pandangan terkait trend pasaran global, potensi aset digital serta jangkaan prestasi masa hadapan berdasarkan perspektif teknikal daripada rakan strategik.
Kerajaan akan terus memastikan bahawa pelaksanaan tokenisasi dan aset digital adalah bersifat inklusif, memberikan manfaat yang menyeluruh kepada rakyat serta dikawal selia secara ketat bagi menjamin keselamatan dan kestabilan ekosistem digital negara.